Mahu dikenang karakter tidak mudah menyerah kalah

Soniia Cheah -Foto AFP
Soniia Cheah -Foto AFP
A
A
A

PEMAIN perseorangan wanita negara, Soniia Cheah mahu penampilannya pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 dikenang sebagai seorang Olimpian yang tidak mudah menyerah kalah di sebalik membawa pelbagai kenangan berharga buat dirinya.

Malah menurut Soniia, Sukan Olimpik merupakan pentas yang cukup istimewa buat atlet profesional sepertinya apatah lagi dapat berada di Tokyo 2020 selepas mengharungi pelbagai rintangan.

“Sejujurnya saya mempunyai perasaan yang bercampur baur, namun saya berasa sangat bersyukur apabila dapat berada di sini selepas melalui pelbagai rintangan.

“Biarpun begitu, saya juga kecewa apabila tidak berpeluang meneruskan perjuangan untuk negara saya ke pusingan seterusnya di sebaliknya perlu menamatkan perjalanan Tokyo 2020,” kata Soniia menerusi satu hantarannya menerusi akaun Instagramnya.

Pada aksi di Tokyo 2020, pemain berusia 28 dari Kuala Lumpur tersebut terpaksa mengakhiri perjuangan di temasya sukan terbesar dunia tersebut apabila tewas kepada pemain Thailand, Ratchanok Intanon 21-19, 18-21, 10-21 pada aksi terakhir Kumpulan N.

Jelas Soniia juga merupakan pemain berkedudukan ranking ke-35 dunia itu mengakui tersentuh dengan sokongan dalam kalangan penyokong dan rakyat Malaysia.

“Banyak lagi yang sebenarnya yang ingin saya sampaikan kepada semua, walaupun saya tewas dalam perlawanan tetapi saya berasa begitu tersentuh dan berterima kasih atas sokongan diberikan, biarpun saya perlu menempuh kesakitan untuk berlatih dan bermain dalam lapan tahun kebelakangan ini.

“Saya ingin anda semua tahu bahawa semuanya berbaloi kerana sokongan yang diberikan kamu kepada saya menjadikan saya lebih degil. Saya mungkin tidak dapat membalas semua mesej diberikan tetapi hanya ingin kamu semua tahu, saya membaca semua mesej itu.

Artikel Berkaitan:

“Jadi saya harap Soniia Cheah akan diingati sebagai seorang Olimpian dengan sikap tidak mudah menyerah kalah,” katanya.