X

Kindly register in order to view this article
!

Selvax sasar 80 peratus komuniti orang asli terima suntikan vaksin

Lebih 300 orang mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di Balai Raya Taman Desa Kemandol, di sini pada Sabtu.
A
A

KUALA LANGAT - Sebanyak 80 peratus daripada jumlah penduduk di perkampungan orang asli seluruh daerah sini disasarkan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi mencapai imuniti berkelompok.

Penggerak Masyarakat Orang Asli Pejabat Ahli Parlimen Kuala Langat, Mohd Ridzuan Shah Ahmed berkata, sasaran tersebut dapat dicapai menerusi Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Orang Asli yang diadakan di Balai Raya Taman Desa Kemandol, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, majoriti penduduk suku kaum Temuan di sini telah mendaftar untuk mendapatkan janji temu suntikan vaksin, namun mereka didapati gagal hadir ke janji temu tersebut kerana tidak mengemaskini maklumat kerana kurang mahir menggunakan aplikasi tersebut.

“Sekitar 70 peratus orang asli di sini telah mendaftar di aplikasi MySejahtera untuk vaksinasi, tapi mereka tidak dapat menghadiri janji temu tersebut kerana dipercayai kurang mahir untuk mengemaskini dan mengesahkan janji temu yang diperoleh.

“Jadi, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat mengambil inisiatif membantu mereka untuk mendaftarkan vaksinasi dan mengemaskini janji temu di aplikasi MySejahtera,” katanya di sini pada Sabtu.

Penggunaan bas sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak memudahkan proses vaksinasi dijalankan di kampung-kampung orang asli di Kuala Langat.
Penggunaan bas sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak memudahkan proses vaksinasi dijalankan di kampung-kampung orang asli di Kuala Langat.

Dalam pada itu, Mohd Ridzuan berkata, lebih 300 orang asli mendapat suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech sejak pendaftaran dibuka secara manual untuk penduduk di sini pada Jumaat.

Pada masa sama, PKD Kuala Langat turut membekalkan sebanyak 600 dos vaksin jika ada penduduk sekitar yang datang terus dan secara mengejut.

Ujarnya, penggunaan bas tajaan Mara Liner yang dijadikan tempat suntikan vaksin bergerak turut memudahkan proses vaksinasi djalankan di kampung-kampung orang asli di seluruh Kuala Langat.

“Setelah beberapa siri program vaksinasi untuk orang asli dibuat pada awal Julai, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memaklumkan bahawa syarikat bas, MARA Liner ingin menaja sebuah bas bagi menggerakkan program vaksinasi bagi komuniti tersebut.

“Bas ini akan digunakan untuk semua program vaksinasi orang asli di seluruh Kuala Langat,” katanya.

Salah seorang penerima vaksin di sini, Roshayati Em, 48, berkata, inisiatif ini memudahkan dia sekeluarga untuk menerima suntikan vaksin tanpa perlu keluar daripada kawasan.

PKD Kuala Langat membekalkan sekitar 600 dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech untuk masyarakat orang asli di Kuala Langat.
PKD Kuala Langat membekalkan sekitar 600 dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech untuk masyarakat orang asli di Kuala Langat.

Ibu tunggal itu turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana sanggup turun padang untuk memberikan suntikan vaksin kepada masyarakat orang asli.

“Saya tidak daftar di aplikasi MySejahtera kerana tidak mahu keluar dari kampung dan kalau dapat di tempat yang jauh, saya sukar untuk ke sana.

Penerima lain, Ilai Guling, 36, berasa teruja apabila pihak kerajaan turun ke kawasan penduduk untuk memberikan suntikan vaksin kepadanya dan keluarga.

Dia yang hadir ke sini sejak jam 8.45 pagi berkata, proses pemberian vaksin berjalan lancar dan memakan masa kurang daripada sejam untuk diselesaikan.

“Sebelum ini pernah cuba daftar untuk dapatkan janji temu di aplikasi MySejahtera, tapi saya kurang mahir untuk berbuat demikian.

“Susah nak ke bandar untuk dapatkan suntikan vaksin, lagipun bila ada ramai orang, saya takut untuk ke sana,” kata pekebun ladang sawit itu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!