Selesai Covid-19, bukan cari salah

No Image Caption
A
A
A

[WAWANCARA] Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam membidas ahli Parlimen yang gagal memanfaatkan Mesyuarat Khas Parlimen yang berlangsung minggu lalu untuk menyelesaikan masalah Covid-19 yang melanda negara.Tokoh berusia 87 tahun itu berkata, ini bukanlah waktu yang sesuai untuk mencari salah sesiapa kerana negara sedang berperang dengan musuh yang tidak kelihatan. Tegas beliau, peluang yang ada tidak sepatutnya disia-siakan apabila Parlimen bersidang.

“Saya hendak katakan, inilah peluang untuk semua ahli Parlimen dan pemimpin bersama-sama serta bersetuju bekerja bersama. Tidak salah ada perselisihan tetapi kali ini ada peluang.

“Malangnya, apabila buka sahaja Parlimen sudah menjerit-jerit, maki hamun dan cari salah, dengan tujuan apa? Supaya kerajaan itu jatuh dan diganti dengan pemimpin baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Bersama Tun Musa Hitam yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Sabtu.

JOHAN: Saya hendak mulakan dengan bertanya sejak beberapa waktu kebelakangan ini nampaknya Tun menghilang. Apa puncanya?

MUSA: Sebagai permulaan saya ingin mengambil kesempatan menyampaikan ucapan tahniah kepada Sinar Harian atas Sambutan Ulang Tahun 15 tahun. Saya harap Sinar Harian akan berkekalan dan dapat meneruskan tugas dan tanggungjawabnya kepada masyarakat, insya-ALLAH.

Berkenaan dengan ‘kehilangan’ saya, sebenarnya kalau Tan Sri mengikut gerak geri atau aktiviti saya, boleh jadi lebih kurang 15 tahun ataupun 10 tahun saya tidak bersuara dan bergerak.

Pertamanya sebagai Presiden World Islamic Economy Forum (WIF), saya buat keputusan dalam rangka aktiviti WIF ini saya tidak membenarkan perkara yang ada kaitan dengan agama dan politik. Percayalah selama 15 tahun WIF dapat menjalankan aktiviti antarabangsa (tanpa isu agama dan politik). Kami memang terkenal setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Yang kedua, saya memang berdiam diri oleh sebab saya ini sudah tua. Orang lain, ada juga yang tua tapi boleh lebih baik daripada saya. Saya terkena angin ahmar yang sederhana menyebabkan saya tidak dapat bercakap atau aktif terlampau banyak. Hari ini (Sabtu) hari penghabisan saya bekerja dengan WIF.

Saya setuju kita berbual pada hari ini semata-mata kena masanya. Ada hikmah perkara-perkara yang sedang terjadi dalam negara kita ini hinggakan saya bersetuju untuk bercakap dengan wartawan yang terkemuka dalam negara. Saya dengar nama (Tan Sri) Johan Jaaffar disebutkan, saya terus setuju.

Saya hendak tanyakan Tun tentang perkembangan terbaharu di Parlimen membabitkan soal pembatalan Ordinan Darurat yang agak panas. Pada pandangan Tun, apa sebenarnya yang berlaku?

Panjang ceritanya kalau hendak tahu apa yang sedang berlaku tapi pokoknya negara kita sudah lama ditadbir berasaskan Demokrasi Berparlimen. Sepanjang perjalanan kita semenjak kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, kita dapat mengamalkan konsep Demokrasi Berparlimen.

Tetapi sebagaimana boleh dikatakan biasa dalam kalangan negara-negara di dunia ini, kadang-kadang naik aktivitinya, kadang-kadang turun. Ada yang baik, ada yang tidak. Maklumlah dalam kalangan masyarakat yang berpolitik, mereka sentiasa bertelagah. Proses bertelagah ini merupakan satu sifat yang memang perlu wujud dalam proses demokrasi.

Negara kita telah menghadapi pelbagai pengalaman tetapi saya ingin memberitahu saudara Tan Sri iaitu seumur saya dalam politik, tidak pernah berlaku keadaan politik seperti yang kita sedang hadapi sekarang. Kita sudah mendapat pelbagai pengalaman. Yang buruk pun banyak, tetapi saya tidak pernah melalui pengalaman seperti yang dihadapi negara sekarang.

No Image Caption

Kenapa Tun berkata begitu?

Saya berkata begitu oleh sebab amalan Demokrasi Berparlimen telah dicabar dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Dalam keadaan Demokrasi Berparlimen dan kebebasan berpolitik, saya berani mengatakan mereka telah menggunakan kebebasan ini dengan cara negatif. Aktif tetapi dengan cara negatif.

Contohnya, dalam keadaan kita menghadapi pandemik Covid-19 ini, kita ada peluang keemasan untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa sebagai ahli politik kita boleh bermuafakat dan boleh juga kita bertukar-tukar fikiran. Yang penting kita mengambil langkah-langkah yang boleh diterima oleh setiap orang ketika kita menghadapi Covid-19 ini.Apa maksud saya? Dalam proses Demokrasi Berparlimen, ahli politik yang sebelah kerajaan akan menjalankan tugas mereka, tetapi ada juga yang tidak menjalankan tugas. Ahli Parlimen pembangkang akan menjalankan tugas mereka. Kalau kita pihak pembangkang, memang tugas dan tanggungjawab kita untuk membangkang. Maknanya hendak cari salah dan pembangkang harus menimbulkannya untuk mendapatkan jawapan ataupun sesuatu tindakan untuk mengatasi perkara yang salah itu.

Tetapi pada saya, itulah peluang yang terbesar boleh disampaikan oleh semua ahli Parlimen dan bila hendak bertengkar pun ialah berkenaan dengan soal di mana kita dapat menghadapi atau memusnahkan cabaran Covid-19.

Saya hendak katakan inilah peluang kepada semua ahli Parlimen dan pemimpin untuk bersama-sama serta bersetuju bekerja bersama. Tidak salah ada perselisihan faham tetapi kali ini ada peluang. Malangnya, sebaliknya buka sahaja Parlimen sudah menjerit-jerit, maki hamun dan cari salah dengan tujuan apa? Supaya kerajaan itu jatuh dan diganti dengan pemimpin baharu.

Apa yang berlaku di Parlimen baru-baru ini tentang soal Ordinan Darurat yang mendapat perhatian ramai. Kalau kita perhatikan kenyataan media yang dikeluarkan Istana Negara agak keras, kritikal bunyinya. Ungkapan seperti Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak tepat dan mengelirukan ahli Dewan Rakyat. Apa komen Tun?

Saya nampak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sangat teruja ketika bertelagah di Parlimen. Kepada saya juga dua tiga perkara yang dia perkatakan dalam Parlimen itu menyebabkan ahli Parlimen pembangkang ambil kesempatan. Pembangkang mendapati menteri itu kelihatan memberi banyak kenyataan yang kemudian boleh dicabar. Bukan sahaja oleh pembangkang tetapi boleh dicabar oleh rakyat.

Apa yang pasti, fakta Agong telah menyampaikan titahnya. Itu menunjukkan isu ini begitu serius. Semasa saya memegang jawatan (TPM) dulu apabila Tuanku sama ada Agong atau raja-raja lain bertitah, kita harus menelitinya, menerimanya dan berhati-hati kalau kita hendak berhujah dengan perkara yang bertentangan. Jadi kita biarkan kepada orang yang layak untuk selesaikan. Harapan saya supaya yang lain tidak terlibat dengan isu ini.

Tun, ada yang menganggap bahawa ini adalah satu penderhakaan dan menuntut perdana menteri meletakkan jawatan sebagai menerima tanggungjawab apa yang berlaku. Apa pandangan Tun ?

Yang pertama saya sedar sumber dalaman tahu dan dengar orang kata ini adalah penderhaka. Yang kedua, yang suruh perdana menteri berhenti itu biasa juga. Yang saya berasa sangat dukacita adalah nampaknya dalam politik negara kita, keadaannya ialah (sama ada) 'engkau sebelah aku atau sebelah dia'. Terdapat jurang sangat dalam melibatkan kalangan ahli politik itu sendiri. Sesiapa juga mengambil kesempatan untuk kepentingan sendiri dan bukannya negara. Itulah pendirian ahli politik masa kini.

Jadi dari segi Muhyiddin, ‘keterbatasan mendorongnya serta had untuk melakukan proses undang-undang dan juga had untuk berpolitik’.

Pada zaman Tun dahulu, parti dominan yang memerintah, parti itu mempunyai majoriti tetapi sekarang ini parti yang memerintah mempunyai kalau ada pun majoriti tipis. Tentunya desakan itu akan lebih kuat, pada pandangan Tun, Tan Sri Muhyiddin boleh lagi bertahan?

Saya tidak mahu bercakap siapa yang akan memegang jawatan itu tetapi saya nak ambil kesempatan mengatakan bahawa masalah yang kita hadapi di Malaysia dalam politik ialah satu, parti-parti politik ini semua terlampau banyak.

Yang kedua, apa yang kita hadapi sebenarnya kalau kita lihat dengan kritis, masalah pertama ialah masalah yang kita kenal sebagai kepimpinan (leadership). Apa yang sedang berlaku dalam negara kita ini, ia akan kembali kepada kepimpinan.

Malangnya kepimpinan yang ada dalam negara kita ini kurang berpengalaman. Ataupun mereka yang berpengalaman tapi pengalaman yang dia ada sebelum ini tidak sama dengan pengalaman sekarang. Pengalaman sekarang adalah baru kepada kerajaan seperti kebebasan bercakap, menulis, malah berdemonstrasi.

No Image Caption

Saya nak kembalikan kepada sejarah, pada tahun 2004 ini adalah urban legend. Pada hari kritikal, Tun Abdullah Badawi, Perdana Menteri ketika itu nak buat keputusan siapa yang dia nak lantik sebagai timbalan perdana menteri. Ada dua orang yang buat panggilan telefon salah seorangnya Tun Musa Hitam yang mencadangkan nama Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya dilantik sebagai TPM, ada seorang lain mencadangkan Datuk Seri Najib. Betul atau tidak? Apakah orang yang sama Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah orang yang sekarang ini menjadi PM, adakah ini orang yang Tun rasa layak menjadi TPM ketika itu?

Begini, apa yang saya tahu dan saya buat yang pertama ialah Pak Lah pada waktu jadi PM, dia telah menghadapi pilihan raya. Dalam pilihan raya waktu itu dia menang dengan banyak. Pilihan raya yang pertama dia menang tapi yang kedua (2008) dia kalah teruk (tetapi masih menang PRU).

Yang saya nak ceritakan sikit ini ialah yang kedua bila dia kalah banyak. Waktu menang yang pertama itu Pak Lah PM, timbalannya ialah Najib. Waktu Pak Lah bertanding kali kedua di mana keputusannya teruk. Di situlah saya mainkan peranan sedikit, bagaimana?

Secepatnya saya berjumpa, bukan bertelefon dengan Pak Lah. Di perpustakaan di rumahnya saya terus duduk dengan Dolah (Pak Lah). Secara ringkas (saya kata) 'Dolah lebih baik anda pergi (berundur) jika tidak, mereka akan memakan anda hidup-hidup'. Tidak ada yang mendengar perkara ini dan sekarang saya beritahu anda. Saya sangat bangga dengan perkara baru ini yang akan berlaku dan saya ingin memberitahu anda bahawa Pak Lah akan bersetuju dan dia pun bersetuju untuk memendekkan ceritanya.

Dengan keadaan begitu, bermakna Pak Lah masih jadi PM dan Najib sebagai TPM. Pak Lah setuju Najib untuk mengambil tempatnya. Ia sama sekali tidak ada masalah, sama ada saya terlibat atau tidak terlibat. Saya tidak timbulkan soal Najib oleh sebab waktu itu, pada pandangan saya Najib ialah orang yang paling sesuai untuk ambil alih (jawatan PM) disebabkan dia timbalan perdana menteri.

Jadi Pak Lah tidak membangkitkan masalah siapa yang akan menggantikannya, tidak, kerana Najib layak untuk menerimanya. Pak Lah apabila saya bercakap dengannya, dia tidak memberi syarat kecuali boleh melantik Mahyuddin sebagai timbalannya.

Saya segera memberitahu Najib. Najib tanpa ragu-ragu memberitahu saya tidak ada masalah, yang perlu dilakukan ialah Muhyiddin dilantik sebagai TPM.

Apakah Tun rasa yang Tun boleh memainkan peranan untuk menjadi mediator dalam kes terbaru ini ataupun Tun mencadangkan penubuhan misal kata kalaulah Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai sokongan lagi maka mewujudkan sebuah kerajaan interim. Apa komen Tun?

Saya fikir patut saya jelaskan di sini. Pertama, saya ini sudah tua. Kedua, saya telah mengundur diri kalau tidak salah 1987. Saya punya pandangan, siapa juga yang sudah merentas umur 80 lebih baik mereka berundur diri berehat tapi sekali-sekala memainkan peranan sebagai penasihat. Itu sahaja.

Kalaulah misalnya saya jadi perdana menteri begitu popular seperti Tan Sri bagi tahu, saya pasti dalam dua tiga tahun selepas saya jadi perdana menteri saya akan menjadi perdana menteri Malaysia yang paling teruk yang pernah ada.

Dalam buku Tun yang sangat menarik yang bertajuk ‘Frankly Speaking’ Tun sebutkan ada tiga senario kemungkinan apa yang akan berlaku kepada Malaysia. Yang pertama masyarakat akan menjadi masyarakat maju. Yang kedua kita akan menjadi The art of Madling True. Ketiga, akan menjadi negara gagal (Fail State) ini Tun tulis sebelum berlakunya perdebatan tentang soal Fail State ini. Boleh Tun jelaskan?

Saya cuma mengingatkan rakyat kepada sesiapa juga yang membaca bahawa pilihan yang saya sebutkan tadi terpulang kepada rakyat sendiri. Negara yang maju sepenuhnya, kita fikir waktu Dr Mahathir dulu dia kata negara maju pada tahun 2020 dan dah lepas dah. Malahan bukan sahaja kita maju setahap negara maju yang kita tahu, bukan sahaja itu, kita nampaknya makin lama makin menurun sedikit.

Waktu itu saya mengingatkan kepada pembaca kalaulah kita hidup dalam negara kita ini dan kalaulah kita tidak pandai menggunakan kebebasan yang ada dan kalaulah kita juga membuat kesalahan dari segi pemilihan orang-orang yang tidak sesuai, ini kenyataan yang sangat besar dari saya kalaulah itu cara kita mungkin akan menjadi negara yang gagal.

Jangan lupa Tan Sri yang menggunakan apa yang saya katakan tadi telah dicampur aduk macam-macam tafsiran. Musa kata Malaysia adalah negara yang gagal. Tidak, saya katakan kita akan menjadi negara yang gagal jika kita tidak mengubah sikap. Saya rasa anda ingin membandingkan keadaan kita 10 tahun yang lalu dan sekarang. Kita semakin hampir dalam keadaan gagal sekiranya ahli Parlimen berkelakuan seperti yang mereka lakukan.

Saya minta maaf kerana mereka mungkin memberikan alasan untuk mengutuk saya. Sesetengah ahli Parlimen tidak melihat demonstrasi sebagai institusi mereka sendiri. Mereka rasa tidak dapat melalui institusi kebaikan orang. Nampaknya kembali kepada apa yang saya katakan sekarang, semasa mereka berkumpul ada empat atau lima ahli Parlimen.

Misalnya isu cara-cara berbahas. Setahu saya, pengerusi sedang menguruskan perbahasan bila seorang itu bercakap yang seorang lagi nak bertanya. Bila seorang lagi bertanya dua tiga empat bangun.

Setahu saya yang bercakap itu memberi laluan, dia kena duduk dahulu. Ataupun yang bertanya itu pun apabila yang bercakap tidak memberi laluan, dia kena duduk.

Ini tidak berlaku pada zaman dahulu. Yang ada sekarang dia menjerit ‘Point of Order’. Bila diberi cakap, bukan ‘Point of Order’. Ini rakyat biasa tidak faham tetapi ahli Parlimen sendiri mesti ada rasa hormat. Ini sangat penting.


ANEKDOT


Kekesalan dalam politik

Tiada. Saya bersungguh-sungguh percaya atas

hikmah. Apa yang terjadi kepada saya semua itu hikmah. Jadi kalau saya guna terminologi hikmah itu dan kalau kita faham ia meliputi segala-galanya daripada keluarga, politik kepada apa jua saya hadapi.

Pengalaman hidup 10 beradik

Adik-beradik saya sepuluh, seorang lahir di Singapura saya yang termuda.

Pengalaman saya dengan bapa saya (bekas pekerja Lembaga Letrik Negara), saya ingat-ingat lupa. Yang saya ingat bila waktu kita makan malam, saya seorang yang dapat makan macam bapa saya. Saya dapat makan nasi tetapi kerak nasi itu baru dibahagi kepada yang lain.

Saya pergi sekolah saya belajar saya aktif dan saya terlibat dalam olahraga dan sebagainya. Banyak aktiviti saya, seorang pun tidak tunjuk ajar pada saya. Sebab setiap lelaki atas dirinya sendiri. Daripada sembilan orang itu, ada seorang abang ipar dan abang saya yang kadangkala beri saya duit poket. Saya pergi universiti pun mereka berasa bangga.

Bila nak menghadapi peperiksaan, saya bangun pukul 5 pagi pakai colok sahaja.

Saya percaya kerana itu saya boleh jadi manusia yang berdikari dan saya tidak harap bergantung kepada keluarga.

Nasihat kepada orang politik

Senang. Sama ada seorang itu Melayu, India, Cina, orang Sabah Sarawak, Kristian atau Hindu. Satu sahaja, ikut apa yang Tuhan ajar. InsyaALLAH itu sahaja.