Jual barang curi di media sosial, tiga lelaki ditahan

Sebahagian barangan penjagaan diri yang dicuri dan dijual secara dalam talian.
Sebahagian barangan penjagaan diri yang dicuri dan dijual secara dalam talian.
A
A
A

MELAKA - Polis menahan tiga lelaki kerana dipercayai menjual barangan curi penjagaan diri di media sosial dalam serbuan berasingan di sini sejak Sabtu lalu.

Perbuatan kesemua suspek berusia di antara 38 hingga 46 tahun itu terbongkar selepas polis menerima lima laporan kecurian bermula Mei hingga Julai ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner, Afzanizar Ahmad berkata, pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Melaka Tengah menyerbu sebuah rumah sewa di Taman Ayer Molek Perdana dan merampas barangan hasil curi serta peralatan yang digunakan suspek pada 24 Julai lalu.

Menurut beliau, hasil serbuan itu, polis menahan seorang lelaki lelaki berusia 38 tahun di kawasan rumah kedai di Malim pada hari sama.

"Tangkapan kedua dilakukan sehari selepas itu melibatkan lelaki berusia 46 tahun yang dipercayai ketua kumpulan berkenaan di sebuah chalet di Pengkalan Balak.

"Tangkapan dua suspek itu membawa kepada penahanan seorang warga asing berusia 39 tahun di Krubong pada Selasa lalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Afzanizar berkata, suspek dipercayai akan mencuri barangan penjagaan diri dan kulit di pasar raya, kedai serbaneka dan farmasi sebelum menjualnya semula secara dalam talian di media sosial.

"Suspek pertama yang ditahan mempunyai tiga rekod jenayah dan dua rekod dadah. Turut dirampas bersama ialah barang dipercayai dicuri.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek direman sehingga 2 Ogos ini dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.