X

Kindly register in order to view this article
!

Vaksinasi: Sarawak sudah liputi hampir semua kawasan pedalaman

A
A

KANOWIT- Program outreach vaksinasi di Sarawak telah meliputi hampir semua kawasan pedalaman di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari berkata, program vaksinasi yang dijalankan oleh pasukan Combat Medic Vaccination Team (CMVT) Angkatan Tentera Malaysia tersebut meliputi beberapa kawasan terpencil seperti Long Singut di Balleh, Kapit yang terletak berhampiran sempadan Sarawak/Kalimantan.

"Seramai 7,000 orang telah divaksinasi oleh CMVT yang merupakan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan.

“Jumlah itu kecil tetapi usaha tersebut agak sukar kerana mereka terpaksa menggunakan laluan luar jalan raya dan bot untuk sampai ke kawasan terpencil,” katanya.

Abang Johari berkata usaha itu sangat bermakna bagi Sarawak dan kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang terlibat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin Nanga Jagau yang dikendalikan oleh CMVT di Skim Penempatan Semula Nanga Jagau pada Sabtu.

Seramai 215 orang di Nanga Jagau menerima dos kedua mereka hari ini (Sabtu).

Abang Johari berkata, pada 5 Ogos, pasukan itu akan berada di Long Singut untuk memberi dos kedua vaksin Covid-19 kepada 178 masyarakat Orang Ulu di sana.

Beliau berkata, bagi daerah Kanowit, ia telah mencapai imuniti kelompok selepas 86 peratus penduduk yang layak telah menerima vaksin.

“Bagi Sarawak, 65 peratus daripada penerima yang layak telah menerima dos kedua dan berharap menjelang Ogos ia akan mencapai imuniti kelompok,” katanya.

Walaupun begitu, Abang Johari menggesa rakyat untuk berwaspada dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam memerangi pandemik Covid-19.

Abang Johari berkata, tanda-tanda Sarawak telah berjaya dalam program vaksinasi boleh dilihat daripada penurunan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) dan kes kematian.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bilangan kes Covid-19 di Sarawak masih tinggi tetapi ia hanya melibatkan kategori satu dan dua iaitu tidak serius. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!