X

Kindly register in order to view this article
!

Polis KL terima laporan kes perhimpunan ‘keluar dan #lawan’

Azmi Abu Kassim
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur menerima laporan berkaitan perhimpunan ‘keluar dan #lawan’ berhampiran Dataran Merdeka di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya menerima laporan itu pada jam 3.04 petang.

"Siasatan sedang dijalankan dan kesemua individu yang dikenal pasti akan dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dalam masa terdekat ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Azmi berkata, jika cukup keterangan, individu-individu tersebut akan dikenakan tindakan kompaun di atas kesalahan di bawah Seksyen 21A Akta 342 dan Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan

Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPB) (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

"Dianggarkan seramai 450 orang berkumpul di Dataran Masjid Jamek di sini pada jam 10.30 pagi. Pada jam 11.30 pagi, kumpulan tersebut telah berarak melalui Jalan Tun Perak menuju ke Jalan Raja sambil membawa kain rentang yang ditulis 'kita mati dalam derhaka, #Keluardanlawan, 'lawan koruptor' dan lain-lain lagi.

"Perhimpunan berlangsung dalam tempoh lebih kurang 2 jam," katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, pihaknya turut terkesan satu video tular berdurasi 14 saat memaparkan perarakan beramai-ramai di sebatang jalan yang dikatakan berlaku di Kuala Lumpur.

"Semakan pihak polis mendapati, kejadian tersebut tidak berlaku di Kuala Lumpur dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan sesuatu perkara yang tidak sahih kerana dikhuatiri menimbulkan kegusaran masyarakat," katanya.

Pada Jumaat, satu kenyataan media telah dikeluarkan oleh Polis Kuala Lumpur yang menyatakan tiada sebarang perhimpunan dibenarkan kerana negara masih berada dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menganjurkan sebarang perhimpunan dan berhimpun di sekitar ibu negara kerana kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Polis Kuala Lumpur menasihatkan orang ramai supaya mematuhi SOP PPN dan tidak terlibat dengan sebarang perhimpunan memandangkan ancaman pandemik Covid-19 yang masih melanda negara.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!