Suspek sembilan kes ragut di Link Kedua ditahan

Dzulkhairi
Dzulkhairi
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang lelaki disyaki terbabit dalam sembilan kes ragut sekitar Lebuhraya Link Kedua, Gelang Patah diberkas polis tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan di sebuah premis di Jalan Serunai 3, Taman Pancasila, Saleng di Senai kira-kira jam 12.25 tengah malam.

"Siasatan lanjut akan dijalankan, tapi buat masa ini, suspek yang beralamat di Kota Tinggi itu sedang direman selama lima hari sehingga 3 Mac ini.

"Suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan AMP pada ujian saringan air kencing yang dilakukan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, berdasarkan semakan yang dibuat, suspek juga didapati mempunyai empat rekod lampau membabitkan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959, Seksyen 395 Kanun Keseksaan, Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan Seksyen 382 Kanun Keseksaan.

Berhubung kejadian ragut itu, beliau memberitahu, semalam polis telah menerima maklumat mengenai kejadian tersebut di kawasan berkenaan yang mana dilaporkan berlaku antara jam 5.50 pagi hingga 7.15 pagi.

Difahamkan, sasaran suspek adalah penunggang motosikal yang keluar masuk Singapura sama ada pergi atau pulang dari bekerja.

"Semua mangsa berusia antara 24 hingga 36 tahun mengalami kerugian antara RM1,000 hingga RM2,500 apabila barangan berharga mereka dibawa lari penjenayah.

Artikel Berkaitan:

"Antara barangan mangsa yang diragut ialah kad pengenalan, cukai jalan motosikal, telefon bimbit, lesen memandu, kad ATM, kad kredit, wang tunai, pasport, permit kerja Singapura, kunci rumah dan kunci pendua motosikal," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, Seksyen 395 dan Seksyen 394 kanun sama.