Kelantan FC kalah lagi

Natanael Ringo (kanan) cuba merampas bola daripada kawalan pemain TFC II pada aksi Liga Primier di Stadium Sultan Muhammad IV pada Sabtu. - Foto TRW
Foto: Ihsan TRW Kelantan FC
Natanael Ringo (kanan) cuba merampas bola daripada kawalan pemain TFC II pada aksi Liga Primier di Stadium Sultan Muhammad IV pada Sabtu. - Foto TRW Foto: Ihsan TRW Kelantan FC
A
A
A

KELANTAN FC terus dirundung malang apabila kalah 0-2 di tangan Terengganu FC II (TFC II) pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Sabtu.

Turun dengan misi meraih mata, TFC II terlebih dahulu menekan tuan rumah apabila penyerang import dari Ghana, Jordan Mintah menjaringkan gol pertama seawal minit ketujuh menerusi rembatan kencang.

Tersentak dengan jaringan itu, The Red Warriors (TRW) cuba bangkit dengan melakukan asakan ke kubu pelawat namun dihampakan oleh ketumpulan jentera penyudah.

TFC II kembali memperkemaskan serangan dan hampir menambah jaringan menerusi tandukan tonggak pertahanan Muhammad Alif Zakaria, namun penjaga gawang Kelantan FC, Mohamad Faridzuen Kamarudin lebih berada pada kedudukan tepat untuk menepis keluar bola tersebut.

Mario Arques melepaskan peluang terbaik mendapatkan jaringan pada minit-minit akhir perlawanan apabila sepakan percumanya terkena beting yang dibina oleh pasukan pelawat.

Keputusan 0-1 berpihak kepada TFC II itu kekal hingga tamat perlawanan babak pertama.

Bersambung babak kedua, perlawanan agak seimbang apabila kedua-dua pasukan sering berbalas-balas serangan untuk mendapat jaringan.

Minit ke-58, TRW berpeluang mendapatkan jaringan penyamaan tetap peluang terhidang dalam kotak penalti gagal dimanfaatkan oleh pemain gantian Nurshamil Abd Ghani.

Artikel Berkaitan:

Selepas itu, TFC II dilihat lebih banyak 'berkampung' di tempat sendiri untuk menahan asakan bertali arus tuan rumah, namun lawan menarik nafas lega ketumpulan penyudah terus menghantui TRW.

TFC II terus menjarakkan kedudukan jaringan menjadi 2-0 pada minit ke-79 menerusi rembatan jarak dekat Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali untuk menewaskan Mohamad Faridzuen.

Keputusan itu menyaksikan Kelantan tewas kali kedua dalam tempoh seminggu di tempat sendiri.

Pada Rabu lalu, Kelantan FC tumbang 1-2 di tangan PDRM FC.