X

Kindly register in order to view this article
!

Polis pantau laluan tikus PKPD ke dusun durian

Barudin (kiri) memberikan taklimat mengenai pelaksanaan PKPD di empat lokaliti kepada Dr Wan Norashikin di Pusat Operasi Pejabat Penghulu Mukim Pasir Salak pada Sabtu.
A
A

PASIR SALAK - Polis memantau laluan tikus ke dusun durian dan kebun kelapa sawit di empat lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua mukim di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah bermula pada Sabtu selama dua minggu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Barudin Wariso berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan tiada pergerakan keluar masuk di empat kampung terlibat iaitu Kampung Biak Hilir di dalam Mukim Bandar selain Kampung Biak Darat, Kampung Biak Daroh dan sebahagian Kampung Pasir Salak yang berada di dalam Mukim Pasir Salak.

Menurutnya, sebanyak 14 laluan tikus di kawasan berkenaan dikenalpasti dengan empat daripadanya boleh dilalui kereta ditutup.

“Sebanyak 10 lagi laluan termasuk di ladang berhampiran termasuk dusun durian serta kebun sawit yang boleh dilalui dengan motosikal sudah dikenal pasti.

"Pihak polis akan melakukan rondaan serta pemantauan di lokasi berkenaan bagi memastikan tiada penduduk curi keluar atau masuk melalui laluan itu," katanya kepada pemberita di majlis penyerahan barangan makanan kepada penduduk PKPD di Pusat Operasi Pejabat Penghulu Mukim Pasir Salak pada Sabtu.

Hadir menyampaikan barangan makanan tersebut, Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.

Sementara itu, Barudin berkata, pihaknya membuat sekatan jalan raya Jalan Datuk Maharaja Lela, Kampung Pasir Salak yang merupakan laluan masuk utama ke empat lokaliti berkenaan.

Menurutnya, sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD tersebut, lebih 40 anggota polis akan berada setiap hari di kawasan tersebut dengan rondaan 24 jam khususnya di laluan tikus yang dikenal pasti.

"Setakat ini kita belum kesan sebarang cubaan untuk keluar atau masuk ke kawasan ini. Saya ingatkan kepada penduduk terlibat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Kita juga ada memasang kain rentang maklumat berkaitan PKPD di beberapa tempat di kampung terlibat. Sebarang urusan kecemasan boleh hubungi nombor tertera pada kain rentang tersebut,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!