Barangan basah setiap dua hari untuk kawasan PKPD

Wan Norashikin (dua dari kiri) menyerahkan bantuan barang basah yang akan diagihkan kepada penduduk di empat lokaliti PKPD di dalam kawasan DUN Kampung Gajah pada Sabtu.
Wan Norashikin (dua dari kiri) menyerahkan bantuan barang basah yang akan diagihkan kepada penduduk di empat lokaliti PKPD di dalam kawasan DUN Kampung Gajah pada Sabtu.
A
A
A

PASIR SALAK - Penduduk di empat lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua mukim di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah di sini akan diberikan bantuan barangan basah setiap dua hari bermula Sabtu.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, lokaliti tersebut melibatkan Kampung Biak Darat, Kampung Biak Baroh dan sebahagian Kampung Pasir Salak di dalam mukim Pasir Salak, manakala Kampung Biak Hilir di dalam mukim Bandar.

Menurut beliau, pemberian barangan basah seperti ayam segar, sayur-sayuran, bawang merah, cili, mi dan lain-lain bertujuan membantu meringankan beban penduduk yang terlibat di dalam kawasan PKPD tersebut.

"PKPD yang bermula pada hari ini sehingga 13 Ogos melibatkan empat kampung di dua mukim. Sebanyak 104 keluarga terlibat dengan jumlah keseluruhan penduduk 398 orang.

"Atas inisiatif Pejabat ADUN Kampung Gajah, penduduk yang terlibat akan dibekalkan barangan basah sebanyak dua hari sekali dan tujuh kali keseluruhan sepanjang tempoh PKPD. Bantuan ini sebagai tambahan kepada bantuan barangan kering yang dibekalkan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan barangan basah tersebut di Pusat Operasi Pejabat Penghulu Mukim Pasir Salak di sini pada Sabtu.

Dr Wan Norashikin yang juga ADUN Kampung Gajah berkata, pemberian bantuan barangan basah itu merupakan inisiatif sendiri dilakukan pejabatnya sebagai tambahan bantuan kotak makanan yang disediakan oleh kerajaan.

Menurutnya, semua pengagihan barangan itu dibuat oleh petugas di kawasan PKPD kerana tiada sebarang pergerakan keluar masuk dibenarkan di kawasan lokaliti terlibat sepanjang tempoh tersebut.

Jelas Wan Norashikin, pihaknya mengalu-alukan sumbangan orang ramai kepada penduduk di kawasan PKPD, namun semua bantuan mesti melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang disediakan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau menasihati orang ramai khususnya penduduk kampung terlibat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, pelaksanaan PKPD tersebut dilakukan bagi mengekang penularan Covid-19 ke kampung-kampung lain.