Pemimpin politik jangan ambil kesempatan: Mahdzir

Mahdzir (tiga,kanan) mendengar penerangan daripada Pegawai Kesihatan Daerah Padang Terap, Muhamad Fadhil Mohamad Marzuki (kiri) berkaitan laporan harian di PKOB daerah di Pejabat Daerah Padang Terap pada Sabtu.
Mahdzir (tiga,kanan) mendengar penerangan daripada Pegawai Kesihatan Daerah Padang Terap, Muhamad Fadhil Mohamad Marzuki (kiri) berkaitan laporan harian di PKOB daerah di Pejabat Daerah Padang Terap pada Sabtu.
A
A
A

KUALA NERANG - Pemimpin politik dinasihatkan tidak mengambil kesempatan atas kemelut yang melanda kerajaan dan institusi diraja ketika ini bagi mengelak ia terus berlarutan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata situasi berkenaan tidak seharusnya berpanjangan sebaliknya pemimpin harus bersatu dalam menangani isu berkaitan pandemik Covid-19 untuk membantu memulihkan ekonomi rakyat yang terjejas.

Sehubungan itu, ujar beliau adalah wajar kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu dipertahan seperti yang diputuskan pada pertemuan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Khamis lalu.

"Mana-mana pihak tidak wajar mengambil kesempatan atas situasi ini dan cuba menangguk di air keruh serta membiarkan krisis ini berlanjutan.

"Sepatutnya apabila tahu apa yang sedang berlaku, kita buat sesuatu yang boleh menjadikan keadaan kembali baik dan tumpu urusan menyelesaikan masalah pandemik dan isu berkaitan rakyat," katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Padang Terap di sini pada Sabtu.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, beliau dan ahli Parlimen UMNO secara keseluruhan sentiasa akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong dalam apa jua situasi yang berlaku di negara.

"Kita akur dengan titah Tuanku kerana ia adalah asas kepada perjuangan UMNO yang turut terkandung dalam Perlembagaan UMNO iaitu parti menjunjung institusi diraja.

"Keutamaan kita hari ini adalah bagaimana kerajaan dan ahli politik boleh memastikan krisis dan urusan berkaitan pandemik dapat digembleng penuh komitmen bersama kakitangan kerajaan serta barisan hadapan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan mengenai pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.

Berikutan itu, timbul desakan beberapa pihak agar Perdana Menteri meletak jawatan, bagaimanapun Pejabat Perdana Menteri menjelaskan, semua tindakan yang dilaksana kerajaan adalah teratur bahkan, ia selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.