Daerah Padang Terap bakal capai imuniti kelompok pada September

Mahdzir (dua,kanan) melihat stok makanan yang terdapat di PKOB daerah Padang Terap ketika lawatannya di sini pada Sabtu
Mahdzir (dua,kanan) melihat stok makanan yang terdapat di PKOB daerah Padang Terap ketika lawatannya di sini pada Sabtu
A
A
A

KUALA NERANG - Padang Terap bakal mencapai imuniti kelompok menjelang September ini susulan kelancaran proses vaksinasi Covid-19 di daerah berkenaan.

Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau dimaklumkan bahawa mulai Ogos seramai 7,000 orang disasarkan menerima vaksin dalam tempoh seminggu.

"Jika sebulan, mencapai angka 28,000 orang telah divaksin dan usaha ini secara tidak langsung akan mencepatkan sasaran imuniti kelompok," katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Padang Terap di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, setakat Jumaat, seramai 21,051 orang menerima dos pertama vaksin manakala seramai 14,513 direkodkan menerima lengkap dua dos dan setakat ini sudah seramai 34,000 mendaftar untuk divaksin.

Mahdzir menambah, terdapat tiga lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu di Naka, Kuala Nerang dan Felda Lubok Merbau selain klinik swasta yang membantu melancarkan proses pemberian vaksin kepada masyarakat.

"Selain itu pejabat daerah turut mengambil inisiatif dengan mendekati penduduk kampung melalui unit kenderaan bergerak serta pandu lalu untuk memudahkan masyarakat mendapatkan suntikan vaksin ini," katanya.

Artikel Berkaitan: