X

Kindly register in order to view this article
!

Khidmat bakti warga ATM, PDRM mendepani Covid-19 tidak ternilai: PM

Ucapan sempena Hari Pahlawan 2021 yang dimuat naik di Facebook Muhyiddin Yassin pada Sabtu.
A
A

KUALA LUMPUR - Sumbangan serta khidmat bakti warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya yang bertugas di barisan hadapan ketika negara berdepan penularan wabak Covid-19 tidak ternilai harganya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketika memerangi pandemik Covid-19, para pahlawan di barisan hadapan keselamatan telah membuktikan kesungguhan mereka dengan mempertaruhkan nyawa demi melindungi rakyat Malaysia, sehingga ada yang turut dijangkiti dan kehilangan nyawa.

"Daripada mengawal sempadan negara kepada sekatan jalan raya, daripada memastikan SOP (prosedur operasi standard) dipatuhi kepada membantu golongan yang terkesan dengan agihan bakul makanan.

"...daripada membantu menggerak program vaksinasi kepada merawat pesakit Covid-19 yang terjangkiti, para wira dan wirawati barisan hadapan ini sentiasa sederap bersama-sama pahlawan barisan hadapan kesihatan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan negara.

"Kepada mereka yang masih dalam tugasan, terima kasih saya ucapkan. Semoga anda semua diberi kesihatan dan dilindungi daripada segala bahaya serta kemudaratan," kata Muhyiddin dalam ucapan sempena Hari Pahlawan 2021 yang dimuat naik di Facebook beliau pada Sabtu.

Sempena Hari Pahlawan pada Sabtu, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada setiap warga ATM dan PDRM atas khidmat bakti yang dicurahkan dalam menjaga keamanan dan kedaulatan negara.

Muhyiddin berkata, segala jerit perih, komitmen serta pengorbanan para pahlawan dan perwira negara, sama ada dahulu atau sekarang adalah demi mempertahankan keamanan, kemakmuran serta kedaulatan negara dan beliau berdoa supaya pengorbanan mereka disanjung tinggi dan diberkati.

"Buat ahli keluarga perwira negara yang terkorban semasa bertugas, jasa dan pengorbanan mereka tentunya tidak akan disia-siakan. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

"Tentunya pengorbanan mereka akan terus dikenang sepanjang zaman," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!