X

Kindly register in order to view this article
!

Muhyiddin, anggota kabinet digesa undur diri

Hasim (kiri,depan) bersama aktivis Keadilan Lipis yang tampil membuat laporan polis di IPD Lipis pada Sabtu.
A
A

LIPIS - [DIKEMAS KINI] Aktivis Keadilan Lipis menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh anggota kabinet mengundur diri berikutan isu pembatalan Ordinan Darurat.

Wakilnya, Hasim Mansor menjelaskan tindakan tersebut demi mempertahankan demokrasi berperlembagaan dan menunjukkan rasa tanggungjawab terhadap situasi yang telah berlaku.

Menurutnya, sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah bertitah agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus membentangkan usul darurat di Parlimen dengan sesi bahas dan undi oleh ahli-ahli Parlimen.

"Namun kerajaan PN telah melanggar Perlembagaan tanpa menetapkan pengundian dalam Mesyuarakt Khas Parlimen kali ini.

"Pada masa yang sama telah mengabaikan peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai pembela institusi raja dan Parlimen. Tindakan kerajaan PN merupakan sikap yang tidak menghormati Perlembagaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Selain tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis pada Sabtu, Hasim berkata pihaknya turut mengkritik tindakan kerajaan PN yang membatalkan Ordinan Darurat tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara sekali gus mencetuskan krisis Perlembagaan yang belum pernah terjadi sebelum ini.

"Kami juga meminta pihak polis untuk melakukan siasatan segera terhadap kerajaan PN yang dilihat tidak menghormati peranan Yang di-Pertuan Agong seperti dimaktubkan dalam Perlembagaan sebagai ketua negara dan membatalkan darurat tanpa persetujuan Seri Paduka Baginda.

"Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyudin Hassan telah mengelirukan ahli Dewan Rakyat dalam sesi soal jawab Dewan Rakyat pada 26 Julai lalu dengan menyatakan bahawa kerajaan PN telah membatalkan Ordinan Darurat pada 21 Julai 2021," jelasnya.

Mengulas lanjut, Hasim berkata, berdasarkan kenyataan tersebut, pihaknya mengesyaki Takiyuddin, Muhyiddin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun telah menghina institusi Raja Berperlembagaan, melanggar Perlembagaan Persekutuan dan melanggar kod-kod jenayah yang berkaitan.

Tegasnya, sebagai institusi eksekutif tertinggi negara, kabinet harus mempertahankan insitusi Raja Berparlimen dan menghormati peraturan undang-undang berdasarkan Rukun Negara.

Katanya, di bawah pemerintahan Raja Berperlembagaan, interaksi antara raja dan kabinet adalah berdasarkan kepercayaan tetapi kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat disifatkan sebagai ketidakpercayaan terhadap Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut meminta Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar (UMNO) merangkap Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad sedar bahawa tindakan kerajaan yang dipimpin oleh Muhyiddin secara serius tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong.

"Oleh itu, kami meminta Abdul Rahman meletak jawatan dan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri dengan segera sekiranya beliau benar-benar mempertahankan institusi raja-raja Melayu serta tidak ingin turut terpalit dengan insiden ini," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!