Darurat di Sarawak demi nyawa rakyat

Alexander
Alexander
A
A
A

SHAH ALAM - Proklamasi Darurat di Sarawak wajar dilaksanakan untuk keselamatan dan nyawa rakyat berikutan penularan Covid-19 yang masih tinggi.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pada masa ini Sarawak masih belum bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) jika darurat ditamatkan.

Menurutnya, GPS dan seluruh rakyat Sarawak berharap keadaan akan menjadi semakin baik seiring dengan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang mana 100 peratus populasi dewasa di Malaysia dijangka menerima dos lengkap vaksin pada Oktober.

“Jika perkara itu sudah selesai maka Yang di-Pertuan Agong mungkin berkenan untuk menamatkan Proklamasi Darurat lebih awal yang akan membolehkan PRN diadakan.

“Ia membolehkan rakyat di Sarawak melaksanakan hak mereka untuk memilih dan memberi mandat kepada GPS untuk mentadbir kerajaan negeri.

“GPS menaruh sepenuh keyakinan di atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam Perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Sabtu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) di seluruh negeri itu mulai 2 Ogos ini sehingga 2 Februari tahun depan sekali gus menggantung pilihan raya negeri (PRN) daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

Dalam satu warta kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Julai, Seri Paduka berpuas hati darurat besar iaitu wabak Covid-19 yang sedang berlaku telah menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terancam.

Artikel Berkaitan: