Teliti penjelasan kerajaan, waspada pihak sengaja sebar berita palsu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Seluruh lapisan masyarakat diminta untuk meneliti siri penjelasan yang diberikan oleh kerajaan mengenai situasi terkini.

Ketua-ketua penerangan parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkata, terlalu banyak pihak yang cuba menangguk di air keruh untuk kepentingan peribadi dan menyelamatkan diri termasuklah dengan sengaja mencipta berita-berita palsu dan mengeksploitasi situasi semasa melalui media sosial.

“Rakyat mesti peka dengan gerak kerja yang tidak bertanggungjawab ini dan sentiasa merujuk kepada sumber-sumber yang sahih untuk mengetahui situasi yang sebenar,” kata mereka dalam kenyataan bersama pada Sabtu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan; Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad; Ketua Penerangan Parti Maju Sabah (SAPP), Chin Vui Kai; Ketua Penerangan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kumin; Ketua Penerangan Gerakan, Koo Shiaw Lee; Ketua Penerangan MIC, Datuk V Gunalan dan Pengerusi Biro Penerangan MCA, Chan Quin Er.

Turut sama Setiausaha Penganjur Kebangsaan Parti Demokratik Progresif (PDP), Yong Li Na; Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Julita Majungki; Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Idris Buang; Ketua Penerangan Parti Rakyat Sarawak, Datuk Wilfred Nissom serta Setiausaha Publisiti dan Penerangan Pusat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Adam Yii.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, ini sedangkan, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri menjelaskan semua tindakan dilaksanakan kerajaan membabitkan pembatalan Ordinan Darurat dan pelaksanaan sidang khas Dewan Rakyat, adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan sudah menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri sebanyak dua kali kepada Yang di-Pertuan Agong supaya semua Ordinan Darurat dibatalkan dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda mengenainya.

Mengulas lanjut, ketua-ketua penerangan parti dalam kerajaan PN berkata, mereka menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong seperti yang dizahirkan.

“Titah tuanku memperlihatkan iltizam Seri Paduka Baginda mahu memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjaga.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti-parti dalam kerajaan serta ahli-ahli Parlimen yang telah dengan tuntas menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kabinetnya untuk terus memimpin negara mendepani cabaran Covid-19.

“Ini adalah keutamaan sebenar negara pada waktu ini, demi kebaikan rakyat keseluruhannya,” kata mereka.

Mereka turut meminta supaya tumpuan dikembalikan kepada usaha menjaga kesihatan rakyat dan membina semula ekonomi negara melalui pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah dirangka oleh kerajaan.