Suspek curi buah kelapa sawit maut selepas terjun kereta

Gambar hiasan. (Gambar kecil: ismail)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: ismail)
A
A
A

BATU PAHAT- Seorang lelaki berusia 31 tahun dipercayai merupakan suspek kes curi buah kelapa sawit maut selepas terjun dari sebuah kenderaan di Kilometer 4, Jalan Yong Peng-Paloh pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada pengawal keselamatan sebuah syarikat perladangan swasta kira-kira jam 12 tengah malam.

"Pengawal keselamatan terbabit menyatakan seorang suspek yang mencuri buah kelapa sawit telah terjun dari kenderaan semasa mereka dalam perjalanan membawa suspek ke Balai Polis Yong Peng dan telah tidak sedarkan diri.

"Pihak polis segera ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki terbaring dalam keadaan tidak sedar diri di atas jalan raya. Suspek kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Kesihatan Klinik Kesihatan Yong Peng," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Menurut Ismail, siasatan awal mendapati suspek ditangkap pengawal keselamatan berkenaan pada Rabu lalu sekitar jam 11 malam di sebuah ladang sawit ketika sedang menunggang motosikal dengan membawa dua guni berisi buah kelapa sawit.

"Suspek merupakan warga tempatan itu kemudian dibawa pengawal keselamatan bersama dua rakan setugasnya dengan kenderaan persendirian ke Balai Polis Yong Peng.

"Ketika sampai di tempat kejadian kira-kira jam 11.50 malam, suspek terjun dari kenderaan berkenaan untuk melarikan diri," katanya.

Beliau memberitahu mayat suspek dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat bagi proses bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat keretakan di bahagian kepala suspek. Siasatan diklasfikasikan sebagai kematian mengejut dan siasatan lanjut sedang dijalankan," ujarnya.