Pekerjaan tujuh atlet untuk penuhi impian ke Tokyo 2020

Anna Kiesenhofer - Foto AFP
Anna Kiesenhofer - Foto AFP
A
A
A

BUKAN semua atlet yang menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 menikmati kemewahan dengan mendapat tajaan. Ada dalam kalangan mereka terpaksa bekerja demi untuk merealisasikan impian Olimpik mereka, lapor Agensi Berita Xinhua.

1. Anna Kiesenhofer (Austria, berbasikal)

Anna Kiesenhofer, 30, mendedahkan beliau terpaksa memanfaatkan pengetahuannya dalam matematik untuk membantunya meraih pingat emas acara lebuh raya individu.

"Sebagai ahli matematik, saya sudah terbiasa menyelesaikan masalah sendiri, itulah cara saya gunakan ketika berbasikal.

"Ramai penunggang basikal sudah biasa ada pelatih, ada pakar pemakanan dan orang yang membuat perancangan untuk mereka. Tetapi saya semua saya lakukan sendiri," katanya.

Kiesenhofer, yang belajar di Universiti Teknikal Vienna dan Universiti Cambridge, kini bertugas sebagai penyelidik di Ecole Polytechnique Federale de Lausanne.

2. Javad Foroughi (Iran, menembak)

Artikel Berkaitan:

Javad Foroughi - Foto AFP
Javad Foroughi - Foto AFP

Betugas sebagai jururawat, Javad Foroughi berjaya menghadiahkan emas pertama buat negaranya Iran dalam acara 10 meter air pistol lelaki.

Ini adalah Olimpik pertama buat penembak berusia 41 tahun itu, mencatat rekod Olimpik dengan 244.8 mata.

Foroughi memberitahu wartawan dia hanya berlatih di rumahnya disebabkan sekatan Covid-19.

"Saya juga berlatih di ruang bawah tanah di hospital tempat saya bekerja," katanya.

Media Iran memuji kejayaannya yang bukan sahaja berjaya mengharumkan nama negara tetapi juga atas khidmatnya sebagai petugas barisan hadapan.

3. Benjamin Savsek (Slovenia, kanu)

Benjamin Savsek - Foto AFP
Benjamin Savsek - Foto AFP

Anggota polis Benjamin Savsek, 34, merangkul emas dalam acara kanu yang juga emas Olimpik pertama untuk Slovenia.

"Saya amat bangga kerana sekian lama menunggu untuk mendapatkan pingat ini," kata Savsek kepada wartawan selepas kemenangannya.

Selain berkhidmat sebagai polis, Savsek juga juruelektrik yang berkelayakan.

Atlet itu juga pernah menjuarai kejohanan dunia pada 2017 dan enam kejuaraan Eropah.

4. Jo Brigden-Jones (Australia, kayak)

Jo Brigden-Jones - Foto International Canoe Federation
Jo Brigden-Jones - Foto International Canoe Federation

Jo Brigden-Jones dari Australia bertugas sebagai paramedik.

"Saya minat menjadi paramedik kerana ia membantu menyelamatkan nyawa dan saya perlu tangkas bergerak. Selain itu saya berlatih di kawasan yang mempunyai buaya dan yu," katanya.

5. Rosangela Santos (Brazil, olahraga)

Rosangela Santos - Foto AFP
Rosangela Santos - Foto AFP

Rosangela Santos dari Brazil bekerja sebagai pemandu Uber di Amerika Syarikat (AS) untuk menampung keperluannya ke Olimpik.

Berusia 30 tahun, Olimpik Tokyo adalah penampilannya yang keempat dan akan bertanding dalam acara 100m dan 4x100m.

"Untuk mendapatkan upah yang lebih banyak, saya sering berbual dengan penumpang. Saya menjadi pemandu Uber untuk menampung perbelanjaan ke Olimpik," katanya kepada GloboEsporte pada 2019.

6. Ruben Limardo (Venezuela, lawan pedang)

Ruben Limardo - Foto AP
Ruben Limardo - Foto AP

Ruben Limardo dari Venezuela mencari rezeki di Poland dengan menjadi penghantar makanan menggunakan basikal.

"Anda perlu berusaha sendiri dan ini adalah pekerjaan yang saya lakukan," katanya ketika ditemu bual tahun lalu.

Namun, pemain berusia 35 tahun itu tersingkir dalam acara individu epee apabila tewas di tangan atlet Perancis, Romain Cannone pada pusingan 32 pada Ahad lalu (25 Julai).

Limardo mula berjinak dengan sukan lawan pedang seawal usia tujuh tahun dan pada awalnya dia menggunakan tangan kanan, tetapi akibat mengalami kecederaan kini terpaksa menggunakan tangan kirinya.

7. Benjamin Fletcher (Ireland, judo)

Benjamin Fletcher - Foto Getty Images
Benjamin Fletcher - Foto Getty Images

Judoka dari Ireland Benjamin Fletcher berkhidmat sebagai ahli hortikultur membantu perniagaan keluarganya.

"Saya harus berusaha untuk impian Olimpik saya. Macam-macam kerja saya buat termasuk menghantar tempahan pelanggan," kata atlet berusia 29 tahun itu. Pada Khamis lalu beliau tersingkir pada pusingan 32 kategori lelaki bawah 100 kilogram. - Bernama