Covid-19: Kes tertinggi baharu direkodkan, 17,786 kes hari ini

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kes baharu Covid-19 melonjak kepada 17,786 kes dalam tempoh 24 jam lepas, tertinggi sejak pandemik melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian di laman Facebook memaklumkan jumlah kumulatif kes Covid-19 negara kini meningkat kepada 1,113,272.

Menurut beliau, pada 28 Julai, negara merekodkan 17,405 kes jangkitan baharu wabak itu.

"Daripada jumlah kes baharu pada Sabtu, Selangor mencatatkan kes baharu tertinggi dengan 6,400 diikuti Kuala Lumpur (1,962), Kedah (1,389), Johor (1,144), Sabah (1,035) dan Negeri Sembilan (929).

"Terengganu pula mencatatkan 883 kes diikuti Perak (775), Pulau Pinang (713), Melaka (697), Pahang (653), Kelantan (580), Sarawak (485), Putrajaya (116), Perlis (16) dan Labuan (sembilan)," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menerusi kenyataan media memaklumkan daripada 17,786 kes baharu itu hanya 1.5 peratus (260 kes) adalah daripada kategori, tiga, empat dan lima manakala selebihnya adalah kategori satu dan dua.

Beliau berkata, ia berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosis Covid-19.

“Ada di antara kes kekal di kategori sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 165 kematian direkodkan hari ini dengan 52 kematian di Selangor; Johor (30); Negeri Sembilan (23); Kedah (18); masing-masing sembilan kematian di Sabah dan Kuala Lumpur.

"Di Pulau Pinang pula, sebanyak tujuh kematian direkodkan diikuti Melaka (empat); masing-masing tiga kes di Perak, Terengganu dan Sarawak; Pahang (dua) manakala masing-masing satu kes di Kelantan dan Perlis, katanya.

“155 kematian melibatkan warganegara dan 10 lagi adalah rakyat asing,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, kes sembuh merekodkan sebanyak 11,718 kes, manakala jumlah pesakit yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) kekal melebihi angka 1,000 iaitu 1,062 kes dengan 534 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Tambah beliau, 28 kluster baharu dikesan pada Jumaat dengan 13 daripadanya berkaitan dengan tempat kerja; kluster komuniti (12) dan masing-masing satu kluster bagi keagaam Sabah, kumpulan berisiko tinggi dan pusat tahanan.

Beliau berkata, nilai kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) di Malaysia pada Jumaat adalah 1.12 dengan Terengganu dan Kelantan merekodkan nilai tertinggi iaitu 1.29 dan Sabah (1.25).

"Semua negeri lain mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Negeri Sembilan, Labuan dan Perlis," katanya. - Bernama

Sehingga 31 Julai 2021: Jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 17,786 kes (1,113,272 kes).

Pecahan setiap negeri (Kumulatif):

Selangor -6,400 (407,419)

WPKL - 1,962 (123,027)

Johor - 1,144 (90,683)

Sabah - 1,035 (84,721)

Sarawak - 485 (76,728)

Negeri Sembilan - 929 (71,491) pic.twitter.com/862sKXbeS7

— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) July 31, 2021