X

Kindly register in order to view this article
!

Cubaan seludup keluar 886 murai gagal, dua lelaki ditahan

PPM Wilayah Dua Tampoi merampas 886 ekor burung murai dan menahan dua suspek hasil serbuan dilakukan di ladang kelapa sawit Kampung Baharu Senggarang pada Jumaat.
A
A

BATU PAHAT- Pasukan Polis Marin (PPM) mematahkan cubaan menyeludup keluar 886 burung murai batu dan kampung dianggarkan bernilai RM110,300 menggunakan van di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Baharu Senggarang di sini pada Jumaat.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner, Muhd Zailani Abdullah berkata, kegiatan itu dikesan sepasukan anggota bersama anggota polis dari Balai Polis Senggarang sewaktu menjalankan Op Benteng Covid-19.

Katanya, anggota terbabit mengesan sebuah van dalam keadaan mencurigakan di tepi laut Parit Botak sewaktu menjalankan operasi terbabit kira-kira jam 3.40 petang.

"Menyedari kehadiran polis pemandu van telah memecut kenderaan terbabit hingga ke kawasan ladang sawit Kampung Baharu, Senggarang. Sewaktu kenderaan itu dihampiri pemandu telah bertindak melarikan diri.

"Suspek berjaya ditemui dan hasil soal siasat yang dilakukan, suspek mengaku sebagai pengurus penghantaran burung ke negara jiran," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Menurut Muhd Zaini, seorang lelaki tempatan telah menyerah diri dan mengaku terlibat secara langsung dalam kegiatan ini sebagai penghantar yang mengunakan van yang dirampas.

"Dua lelaki tempatan berusia 23 hingga 29 tahun berjaya ditahan selain 886 ekor burung murai terdiri daripada 206 ekor burung murai batu dan 680 ekor burung murai kampung serta sebuah van dan sebuah motosikal dirampas.

"Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Senggarang untuk proses dokumentasi, selain kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010," katanya.

Ujar beliau, PPM Wilayah Dua sentiasa meningkat dan memperketatkan operasi terutamanya mengawal perairan negara terutamanya aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan yang dilihat sentiasa mengubah taktik bagi mengelakkan daripada dikesan dan ditangkap oleh pihak berkuasa.

Orang ramai juga diseru untuk menyalurkan maklumat tentang kegiatan atau aktiviti yang menyalahi undang-undang negara. Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada PPM Wilayah Dua di talian 07-2372 221.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!