X

Kindly register in order to view this article
!

Dayung sampan demi dapatkan bantuan makanan anak

Mohd Zaidi menyampaikan susu dan makanan bayi kepada Jammara yang terjejas berikutan pelaksanaan PKPD di Pulau Gaya.
A
A

KOTA KINABALU - Sekumpulan individu etnik Palauh mendayung sampan masing-masing dan menghampiri bot polis di tengah lautan bagi mendapatkan bantuan bakul makanan termasuk keperluan makanan kanak-kanak dan bayi menerusi Op Bantu yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Mereka ini antara penduduk di Pulau Gaya yang terkesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan sejak 8 Julai lalu.

Seorang penduduk dari etnik Palauh dikenali sebagai Jammara berusia 30-an memaklumkan dia mempunyai empat anak yang masih kecil dan memerlukan makanan bayi untuk anak-anaknya.

Difahamkan, Jammara sukar untuk keluar mendapatkan bekalan makanan selain pendapatan turut terjejas berikutan pelaksanaan PKPD di pulau itu sejak tiga minggu lalu.

Seorang lagi penduduk Pulau Gaya, Rufaida Nasir, 28, memaklumkan sejak PKPD dilaksanakan mereka sekeluarga hampir terputus bekalan makanan disebabkan tidak dapat keluar bekerja.

"Suami cuma seorang nelayan dan dalam tempoh PKPD kami tidak dapat keluar untuk menangkap ikan jadi pendapatan pun terjejas.

"Mujur ada bantuan daripada pelbagai pihak yang datang memberikan bantuan bekalan makanan dan hari ini kami berterima kasih kepada polis yang turut menyampaikan bantuan makanan," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas menerima bantuan bakul makanan di Balai Polis Pulau Gaya pada Sabtu.

Etnik Palauh mendayung sampan dan menghampiri bot polis di tengah lautan bagi mendapatkan bantuan bakul makanan menerusi Op Bantu yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Etnik Palauh mendayung sampan dan menghampiri bot polis di tengah lautan bagi mendapatkan bantuan bakul makanan menerusi Op Bantu yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, Op Bantu itu adalah sebagai respon kepada permintaan yang diterima daripada penduduk di Pulau Gaya yang dikenakan PKPD dan terjejas berikutan penularan Covid-19.

Menurut beliau, mengambil kira kesukaran yang dihadapi penduduk, IPD Kota Kinabalu dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk syarikat pengeluar produk makanan Adabi dan badan bukan kerajaan (NGO) tampil menyampaikan 25 bakul makanan kepada ketua isi rumah di sekitar pulau ini.

"Penduduk di Pulau Gaya ini ada terdapat hampir 15,000 orang tetapi tapisan dibuat dan kita dahulukan pihak yang benar-benar terkesan terutama keluarga yang mempunyai kanak-kanak dan bayi.

"Jadi dalam Op Bantu ini selain bakul makanan, turut diberikan susu dan nestum (makanan bayi) kepada ketua isi rumah di kawasan rumah atas air dan ada yang datang menemui kita di laut," katanya selepas menyampaikan bantuan terbabit.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis IPD Kota Kinabalu, Wan Norzihan Mat Azahari, Ketua Skuad Aman Wanita (Amanita) IPD Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Rosnah Ag Damit dan Ketua Balai Polis Pulau Gaya, Asisten Superintendan Alamshah Ghulam.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!