X

Kindly register in order to view this article
!

Susah hati setiap kali hujan lebat

Penduduk Kampung Kubur di Batu Feringghi terpaksa hidup dalam kebimbangan sekiranya hujan lebat kerana boleh menyebabkan banjir kilat.
A
A

GEORGETOWN - Setiap kali hujan, lebih 100 penduduk Kampung Kubur, Batu Feringghi resah susulan banjir yang akan melanda kampung mereka.

Salah seorang penduduk, Rosli Dahlan, 67, memberitahu, banjir kilat di kampung itu telah berlarutan sejak sedekad lalu ekoran sistem pengaliran parit yang tidak sempurna.

Menurutnya, limpahan air dari Sungai Satu yang terletak berhampiran kampung berkenaan menjadi punca berlakunya banjir kilat setiap kali hujan lebat.

"Penduduk di sini, kalau hujan lebat atau berlarutan lebih sejam, kami susah hati dah. Nak lelap mata pun tak boleh kerana bimbang air naik.

"Sudah 10 tahun kami tanggung masalah ini, dua minggu lalu lebih 100 penduduk kampung terjejas akibat banjir kilat selepas hujan lebat lebih dua jam. Apatah lagi, sekarang ini pula musim hujan," katanya ketika ditemui di Batu Feringghi di sini.

Rosli Dahlan
Rosli Dahlan

Dia yang sudah menghuni selama 40 tahun di kampung tersebut menjelaskan, walaupun air naik tidak terlalu tinggi, namun ia sudah cukup membimbangkan penduduk di situ.

"Jika air laut pasang, air akan naik dengan lebih cepat dan tinggi. Sebelum ini memang banjir kilat berlaku tetapi sejak ada projek perumahan, banjir semakin cepat berlaku,'' luahnya.

Dia mendakwa, antara punca utama timbulnya masalah ini adalah struktur saliran air di Sungai Satu yang tersekat selepas sebuah projek perumahan mewah dibangunkan berhadapan dengan Kampung Kubur kira-kira tiga tahun lalu.

Katanya, tembok yang dipercayai dibina oleh pemaju projek perumahan mewah itu menyebabkan air sungai sukar mengalir ke laut apabila hujan.

"Ada pam air juga diletakkan di dalam sungai, namun ia tidak membantu mengurangkan limpahan air sungai ke kawasan kampung apabila hujan lebat.

"Kami buntu, diharap ada pihak yang sudi membantu untuk selesaikan masalah ini," katanya.

Menurut Rosli, banjir paling buruk pernah berlaku di kampung itu adalah pada 2017, namun kebelakangan ini, penduduk semakin bimbang kerana terpaksa berdepan dengan banjir kilat yang kerap terutama ketika air laut pasang dan hujan lebat.

Ujarnya, antara kerugian yang terpaksa ditangggung penduduk adalah peralatan elektrik yang sering rosak selepas banjir.

Seorang lagi penduduk, Maimunah Ali, 58, berkata, masalah banjir kilat di kampung berkenaan telah lama berlaku dan masih belum dapat diselesaikan oleh pihak berkuasa.

"Kami berharap saliran di Sungai Satu dapat dibesarkan agar limpahan air sungai dapat dialirkan ke laut sekiranya hujan lebat dan tidak melimpah ke kawasan penduduk," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!