1,750 tan sisa buangan terjadual dihantar pulang negara asal

Sebanyak dua buah kontena ditahan dan diperiksa pasukan penguatkuasa JAS Selangor di Pelabuhan Barat, Klang, pada Jumaat.
Sebanyak dua buah kontena ditahan dan diperiksa pasukan penguatkuasa JAS Selangor di Pelabuhan Barat, Klang, pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengarahkan pemulangan semula 90 kontena yang mengandungi sisa buangan terjadual ke negara asal dalam tempoh bermula Januari hingga Julai tahun ini.

JAS Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, anggaran berat keseluruhan sisa buangan terjadual berkenaan adalah sebanyak 1,750 metrik tan dengan nilai anggaran RM6.31 juta.

Jabatan itu berkata, pihaknya akan terus komited untuk membanteras jenayah alam sekitar merentas sempadan dan mengelakkan negeri ini dijadikan sebagai tempat pelupusan buangan daripada negara asing.

"Terbaharu, sebanyak dua buah kontena ditahan dan diperiksa pasukan penguatkuasa JAS Selangor di Pelabuhan Barat, Klang pada Jumaat susulan mendapat maklumat dikemukakan pihak Kastam.

"Ia susulan pemeriksaan ke atas tiga buah kontena sebelum mendapati dua daripadanya mengandungi buangan terjadual e-waste (SW 110) dan barangan tersebut diimport dari United Arab Emirates (UAE)," kata JAS Selangor dalam kenyataan pada Sabtu.

JAS Selangor berkata, pengimport didapati tidak mempunyai kebenaran Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling untuk mengimport buangan tersebut manakala pemeriksaan ke atas sebuah lagi kontena mendapati barang dagangan yang diimport tidak tertakluk sebagai buangan terjadual di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Satu Notis Arahan pemulangan akan dikeluarkan kepada pegimport untuk memulangkan semula dua kontena yang berisi e-waste (SW110) tersebut ke negara asal di bawah prosedur Konvensyen Basel," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: