Guru Penolong Kanan jadi sukarelawan PPV

Intan Mardiana (kanan) dan Norbaizura berbangga kerana dapat berkhidmat sebagai sukarelawan PPV.
Intan Mardiana (kanan) dan Norbaizura berbangga kerana dapat berkhidmat sebagai sukarelawan PPV.
A
A
A

SEREMBAN - Walaupun sibuk dengan tugas hakiki mereka, dua Guru Penolong Kanan Pentadbiran memilih untuk berkhidmat sebagai sukarelawan di bawah Bridged Negaraku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Klinik Kesihatan Seremban 2.

Mereka berpendapat sesiapa sahaja perlu tampil menyumbang masa atau tenaga ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Intan Mardiana Roslan, 39, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Sega berkata, beliau terpanggil untuk berkhidmat sebagai sukarelawan di PPV kerana terkesan melihat ada pelajar dan guru di sekolahnya yang positif Covid-19.

Intan Mardiana membantu menolak kerusi roda seorang warga emas di PPV Klinik Kesihatan Seremban 2.
Intan Mardiana membantu menolak kerusi roda seorang warga emas di PPV Klinik Kesihatan Seremban 2.

"Covid-19 ini bukan perkara main-main dan kita semua nampak bagaimana pasukan perubatan bertungkus-lumus merawat pesakit. Mereka kerja tanpa henti.

"Dalam keadaan sekarang, sesiapa saja perlu tampil membantu dan peluang menjadi sukarelawan di PPV ini sangat bermakna buat saya," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun menurut guru ini, beliau hanya berkhidmat pada hari Sabtu kerana setiap hari Isnin hingga Jumaat akan sibuk dengan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),

Ujarnya, ia merupakan khidmat sosialnya kepada negara lebih-lebih lagi minatnya dalam kerja-kerja sukarelawan.

Norbaizura Kamarudin, 41, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Wawasan Seremban 2 pula bersyukur apabila keputusannya untuk berkhidmat sebagai sukarelawan mendapat sokongan daripada suami dan anak-anak.

Norbaizura memeriksa MySejahtera seorang penerima vaksin.
Norbaizura memeriksa MySejahtera seorang penerima vaksin.

Katanya, setiap kali dipanggil untuk bertugas, suaminya yang akan mengambil peranan menjaga anak-anak di rumah.

"Memang jadual guru agak padat dan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, saya akan fokus PdPR.

"Tugas sukarelawan ini hanya pada hari Sabtu kerana tiada kelas. Saya seronok untuk bersama menyumbang tenaga walaupun terpaksa berada di PPV seawal jam 7.30 pagi hingga jam 5 petang," katanya.

Sementara itu Presiden Bridged Negaraku, Khairul Nizam Mohd Sopery berkata, sejak sebulan lalu, seramai 60 sukarelawan daripada pertubuhan itu diberi kepercayaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyumbang bakti di PPV.

"Kami terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya guru, akauntan dan pegawai bank dan khidmat kami adalah percuma. Niat kami untuk membantu negara mudahkan urusan di PPV," katanya.