Amanah Temerloh lapor polis isu pembatalan Ordinan Darurat

Azizul Shah (depan, kanan) bersama ahli kawasan serta Norani (dua dari kiri) yang membuat laporan polis di IPD Temerloh pada Jumaat.
Azizul Shah (depan, kanan) bersama ahli kawasan serta Norani (dua dari kiri) yang membuat laporan polis di IPD Temerloh pada Jumaat.
A
A
A

TEMERLOH - Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Temerloh tampil membuat laporan polis berikutan tindakan beberapa individu yang disifatkan tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Kawasan, Azizul Shah Mohd Noor berkata, pihaknya kesal dengan tindakan yang dilakukan beberapa individu terlibat berhubung pembatalan Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu.

Menurutnya, merujuk kepada titah Yang Di-Pertuan Agong pada 29 Julai 2021 yang menyatakan antara lain kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa semua Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai 2021 namun pembatalan itu telah dibuat tanpa mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.

"Yang di-Pertuan Agong juga telah menyatakan bahawa kenyataan tersebut adalah tidak tepat dan mengelirukan serta tindakan kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat tersebut dibuat bertentangan dengan titah Seri Paduka Baginda sebelum ini.

"Sebaliknya, Seri Paduka Baginda mahukan Ordinan Darurat tersebut dibentang dan dibahaskan di Parlimen untuk dirungkaikan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau bersama ahli kawasan itu dan badan bukan kerajaan (NGO) Arif Pahang yang diwakili ketuanya, Norani Mohd Arshad membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada Jumaat.

"Saya membuat laporan ini bagi memohon pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menyiasat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang membuat kenyataan tersebut.

"Siasatan juga perlu dilakukan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua kerajaan dan kabinet kerajaan Perikatan Nasional, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kerana mengambil tindakan yang membelakangkan titah Yang di-Pertuan Agong dan melanggar Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, ia merupakan satu tindakan tidak menghormati dan memusuhi Seri Paduka Baginda yang sangat jelas, selain melanggar Perlembagaan Persekutuan dan juga kesalahan yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Ujarnya, ia boleh disiasat di bawah peruntukan-peruntukan Kanun Keseksaan serta kesalahan-kesalahan lain yang terkait di bawah mana-mana peruntukan undang-undang negara.