Ordinan Darurat: Perlembagaan, undang-undang perlu jadi rujukan

Hasni melancarkan pengisytiharan Majlis Perbandaran Pontian pada Sabtu.
Hasni melancarkan pengisytiharan Majlis Perbandaran Pontian pada Sabtu.
A
A
A

PONTIAN - Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menegaskan isu berhubung pembatalan Ordinan Darurat pada masa kini perlu dirujuk kepada perlembagaan yang menjadi asas kepada negara sejak merdeka lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor menjelaskan tidak sepatutnya timbul sebarang keraguan tentang institusi diraja dan kerajaan kerana peranan kedua-dua pihak terbabit sudahpun termaktub dalam undang- undang dan perlembagaan negara.

"Saya berpandangan dalam keadaan sekarang yang perlu beri penelitian ialah tentang apa yang patut dibuat kerajaan secara keseluruhannya sama ada pengisytiharan darurat atau perjalanan sidang Parlimen dan juga pentadbiran kerajaan negeri.

"Undang-undang dan perlembagaan menjadi rujukan dan perkara yang penting untuk ia diterjemahkan. Sekiranya berlaku sebarang persoalan yang timbul harus kembali kepada pangkal jalan, perlembagaan dan undang-undang negara.

"Kita sudah lama merdeka jadi tidak sepatutnya timbul sebarang persoalan atau keraguan di pihak mana pun dalam menterjemahkan perlembagaan dan undang- undang," katanya ketika ditemui selepas pengisytiharan Majlis Daerah Pontian dinaik taraf sebagai Majlis Perbandaran Pontian di sini pada Sabtu.

Sempena pengisytiharan itu, sebanyak RM1 juta diperuntukkan Majlis Perbandaran Pontian bagi sumbangan bakul makanan.

Khamis lalu, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen walhal perkara itu belum mendapat perkenan baginda.

Al-Sultan Abdullah menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen pada 26 Julai lepas, tidak tepat dan mengelirukan Ahli Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Agong dukacita kenyataan pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan