Ahli Parlimen UMNO diminta buktikan kesetiaan, tarik sokongan

Afif Farhi Othman
Afif Farhi Othman
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen UMNO diminta supaya menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membuktikan kesungguhan dan keikhlasan mereka dalam membela institusi Raja-raja Melayu.

Exco Pemuda UMNO, Afif Farhi Othman berkata, proses pembatalan Ordinan Darurat yang dilakukan secara tergesa-gesa oleh kerajaan itu jelas membelakangkan fungsi kuasa Yang di-Pertuan Agong dan bercanggah dengan tuntutan Perlembagaan Persekutuan.

“Kebimbangan terbesar adalah UMNO turut akan terheret di dalam krisis Perlembagaan ini meskipun telah menarik sokongan natijah daripada kegagalan ahli Parlimen menetapkan pendirian dan memenuhi ikrar taat setia kepada Seri Paduka Baginda.

“Sebagai ahli parti, saya berpandangan inilah masa yang sebaiknya untuk ahli Parlimen menarik sokongan terhadap Perdana Menteri dan menunjukkan komitmen serta mempersembahkan kesetiaan terhadap Raja dan negara selaras dengan prinsip Rukun Negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Khamis, Seri Paduka Baginda menerusi satu kenyataan daripada Istana Negara menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen pada 26 Julai lalu mengenai pembatalan Ordinan Darurat adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli Dewan Rakyat.

Yang di-Pertuan Agong turut bertitah bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 itu bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi serta kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan: