Kastam rampas 1.68 juta batang rokok dalam dua lori

Sebahagian rokok yang dirampas melalui operasi bersepadu yang dilancarkan sejak 25 Julai lalu.
Sebahagian rokok yang dirampas melalui operasi bersepadu yang dilancarkan sejak 25 Julai lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas 1.68 juta batang rokok pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM332,400 dengan nilai cukai RM1,142,040 dan dua buah lori melalui operasi bersepadu sejak ia dilancarkan pada 25 Julai lalu.

Pengarah Kastam Negeri, Mohd Rakbi Mat Saud berkata, kesemua rokok yang dirampas itu adalah untuk pasaran tempatan dan luar Kelantan, khususnya di pantai timur.

Menurutnya, melalui operasi yang sama, pihaknya turut merampas sebuah kenderaan Mitsubishi Lancer dalam satu kes berlainan yang dipercayai diseludup dari Singapura.

"Anggaran nilai kenderaan adalah RM20,000 melibatkan cukai yang dianggarkan bernilai RM38,000 dan kita turut menahan pemilik kenderaan tersebut. Modus operandi penyeludupan kenderaan ini adalah dengan menggunakan taktik mengklon kenderaan tersebut dengan kenderaan asal yang telah didaftar di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"JKDM Negeri Kelantan masih menyiasat kedua-dua kes terbabit di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

"Justeru JKDM meminta orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," katanya.

Artikel Berkaitan: