PKPD Mukim Tebak: Polis tutup dua laluan di Kampung Kubu

 Hanyan Ramlan
Hanyan Ramlan
A
A
A

KEMAMAN - Polis menutup dua laluan di dalam kawasan Kampung Kubu, Mukim Tebak, di sini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang berkuat kuasa, pada Sabtu sehingga 13 Ogos ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, laluan terbabit melibatkan jalan di depan Masjid Padang Kubu dan jalan bersebelahan pondok polis Padang Kubu.

Menurutnya, polis juga akan mengadakan dua sekatan jalan raya (SJR) di laluan keluar masuk Rumah Mampu Milik (RMM) Padang Kubu dan laluan keluar masuk Ladang Padang Kubu

"Kita juga akan menempatkan pusat kawalan PDRM di laluan keluar masuk RMM Padang Kubu bagi memudahkan penduduk mendapatkan kebenaran keluar masuk di kawasan PKPD atas sebab kecemasan atau sebab dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Hanyan turut menasihati penduduk supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan tidak mengalih, mengubah atau merosakkan penghadang jalan yang ditempatkan di kawasan PKPD.

Beliau berkata, perbuatan demikian boleh menyebabkan mereka didakwa mengikut peruntukan undang-undang dan penduduk juga dinasihatkan agar dapat mengurangkan pergerakan kecuali atas urusan penting.

"Pihak polis akan membuat rondaan dan pemantauan dari masa ke masa bagi mengenal pasti lorong-lorong yang masih digunakan orang ramai bagi tujuan keluar masuk ke kawasan PKPD," tegasnya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan PKPD di 19 lokaliti membabitkan lima negeri termasuk di Sabah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Kedah.

Artikel Berkaitan: