Sila log masuk terlebih dahulu.

Maqis rampas 24 tan keratan ayam sejuk beku

Lori kontena yang ditahan ketika cuba membawa masuk 24 tan keratan ayam di ICQS Bukit Kayu Hitam pada Rabu. - Foto Maqis Kedah
Lori kontena yang ditahan ketika cuba membawa masuk 24 tan keratan ayam di ICQS Bukit Kayu Hitam pada Rabu. - Foto Maqis Kedah
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 24 tan keratan ayam sejuk beku dianggarkan bernilai RM390,240 dari negara jiran.

Pengarah Maqis Kedah, Lily Rosalind Paul berkata, 2,000 kotak paha ayam tanpa tulang itu dirampas ketika dibawa masuk oleh sebuah lori kontena dalam pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada jam 6.15 petang, Rabu lalu.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati keratan ayam itu cuba dibawa masuk dengan mengemukakan maklumat tidak tepat dan dokumen yang mengelirukan.

Keratan ayam dalam kotak yang dirampas dari sebuah lori kontena. - Foto Maqis Kedah
Keratan ayam dalam kotak yang dirampas dari sebuah lori kontena. - Foto Maqis Kedah

"Kegagalan mengemukakan maklumat tepat atau mengelirukan merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau keduanya sekali di bawah akta sama," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Lily Rosalind berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemeriksaan di pintu masuk sempadan bagi memantau keluaran produk pertanian yang diimport ke dalam negara supaya pengimport mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan bagi memastikan kawalan penyakit serta jaminan keselamatan makanan terpelihara.

Artikel Berkaitan: