Sebuah kilang di Nilai diarah tutup serta-merta

Antara pekerja kilang yang diperiksa dalam ops tersebut pada Jumaat.
Antara pekerja kilang yang diperiksa dalam ops tersebut pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah kilang di Nilai diarah tutup kerana beroperasi tanpa kebenaran dalam operasi bersepadu pemantauan dan pemeriksaan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 ke atas sektor perindustrian serta perkilangan di sekitar Nilai pada Jumaat.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sembilan, Roslin Hisham Abd Hamid berkata, kilang tersebut diarah tutup serta-merta kerana beroperasi di bawah sektor bukan perkhidmatan perlu.

Menurutnya, dalam operasi tersebut seorang pekerja kilang dikenakan kompaun kerana gagal membuat imbasan MySejahtera.

"Empat syarikat turut dikenakan kompaun oleh Majlis Bandaraya Seremban atas pelbagai kesalahan yang dikesan termasuk sebuah syarikat yang dikenakan tindakan oleh Jabatan Tenaga Kerja di bawah Seksyen 24D Akta 446," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Roslin (tengah) semasa membuat pemeriksaan di sebuah kilang di Nilai pada Ops Pematuhan SOP pada Jumaat.
Roslin (tengah) semasa membuat pemeriksaan di sebuah kilang di Nilai pada Ops Pematuhan SOP pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi yang dijalankan itu melibatkan kerjasama antara lapan agensi yang terdiri daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, MKN Negeri Sembilan, Pejabat Kesihatan Daerah Seremban, Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jabatan Tenaga Kerja daerah Seremban, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Sembilan dan Majlis Bandaraya Seremban.

Katanya, operasi bersepadu seumpama itu akan terus dilaksanakan bagi memastikan semua pihak sentiasa mematuhi SOP yang dikuatkuasakan.

"Pihak berkuasa juga tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati sengaja melanggar SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Marilah kita bersama-sama berganding bahu melaksanakan tanggung jawab dan memainkan peranan dalam membendung, mengawal serta mencegah penularan wabak pandemik Covid-19 di negeri ini,"katanya.