X

Kindly register in order to view this article
!

Bursa Malaysia dijangka diniagakan berhati-hati

Bursa Malaysia dijangka diniagakan berhati-hati dengan kecenderungan meningkat, dengan indeks petunjuk pasaran berada antara 1,500 dan 1,520 mata minggu depan.
A
A

BURSA Malaysia dijangka diniagakan berhati-hati dengan kecenderungan meningkat, dengan indeks petunjuk pasaran berada antara 1,500 dan 1,520 mata minggu depan, kata peniaga.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata, pelabur dijangka terus berhati-hati dalam persekitaran ketidaktentuan yang meningkat mengenai senario politik serta jumlah kes positif Covid-19 harian yang tinggi dan kebimbangan mengenai impaknya kepada ekonomi.

“Walaupun dos vaksinasi harian yang diberikan mencecah paras tertinggi sebanyak 556,404 dos pada Khamis, pelabur masih bimbang dengan jumlah kes yang kekal tinggi melebihi 15,000 kes sehari,” katanya.

Beliau berkata, jumlah pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) turut terus membimbangkan sebanyak 1,043 pesakit sehingga 29 Julai.

“Bagaimanapun, kami menjangka untuk menyaksikan aktiviti belian saham pada harga rendah berikutan pasaran mencatatkan lebihan jualan, ditutup di bawah paras 1,500 pada Jumaat.

“Memandangkan musim pendapatan korporat yang terkini telah bermula, sebarang kejutan positif boleh mendorong pasaran untuk lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.

Mengenai data ekonomi, Adam berkata, akan terdapat banyak data mengenai Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan untuk bulan Julai bagi negara-negara termasuk Malaysia, China, Taiwan, Vietnam, Thailand dan Filipina, dan pelabur akan memantau petunjuk mengenai hala tuju pasaran.

“Kami berpendapat PMI pembuatan untuk Malaysia akan kekal di bawah 50 mata berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan yang dikuatkuasakan di beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur pada separuh pertama Julai yang menyaksikan industri tertentu seperti sarung tangan getah tidak dapat beroperasi,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, Bursa Malaysia diniagakan turun naik, memulakan minggu ini dengan catatan rendah, tetapi naik semula pada Selasa dan Rabu sebelum akur kepada tekanan jualan pada Khamis dan Jumaat untuk mengakhiri minggu ini melepasi paras sokongan 1,500 dalam persekitaran ketidaktentuan politik yang meningkat.

Peningkatan semula kes Covid-19 di peringkat global turut terus menjadi kebimbangan utama dalam kalangan peserta pasaran berikutan ia boleh menjejaskan pemulihan ekonomi.

Secara keseluruhannya, bagi Bursa Malaysia, FBM KLCI merosot 28.84 mata untuk mengakhiri minggu ini pada 1,494.60 daripada 1,523.44 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 204.66 mata kepada 10,973.47, Indeks FBMT 100 merosot 191.37 mata kepada 10,681.25 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 276.08 mata kepada 12,049.08.

FBM Ace berkurangan 342.60 mata kepada 7.080.63 dan FBM 70 merosot 203.02 mata kepada 14,518.29.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 2.67 mata kepada 187.20, Indeks Perladangan merosot 204.5 mata kepada 6,039.04 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 163.48 mata kepada 14,681.45.

Indeks Tenaga merosot 25.48 mata kepada 739.40, Indeks Penjagaan Kesihatan berkurangan 98.65 mata kepada 2,818.0 dan Indeks Teknologi susut 1.17 mata kepada 88.35.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 21.44 bilion unit bernilai RM13.2 bilion daripada 20.89 bilion unit bernilai RM13.06 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 11.87 bilion saham bernilai RM10.28 bilion daripada 11.57 bilion saham bernilai RM10.17 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.79 bilion unit bernilai RM248.16 juta daripada 1.33 bilion unit bernilai RM139.50 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran Ace berkurangan kepada 7.78 bilion saham bernilai RM2.66 bilion daripada 7.99 bilion saham bernilai RM2.74 bilion minggu lepas. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!