X

Kindly register in order to view this article
!

Agong, Raja Permaisuri zahir penghargaan kepada warga ATM, PDRM

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh perwira atas pengorbanan mereka membantu memerangi penularan wabak Covid-19. - Foto Facebook Istana Negara
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Raja dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh perwira atas pengorbanan mereka membantu memerangi penularan wabak Covid-19.

Penghargaan itu dizahirkan kepada petugas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di barisan hadapan atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik Istana Negara di laman rasmi Facebook pada Sabtu, Seri Paduka berdua turut menzahirkan ucapan selamat Hari Pahlawan kepada seluruh warga kedua pasukan keselamatan berkenaan.

"Baginda berdua menzahirkan setinggi penghargaan kepada perwira ATM dan PDRM khususnya yang bertugas di barisan hadapan di atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah dalam membantu memerangi penularan wabak Covid-19.

"Selaku Ketua Utama Negara dan pemerintah tertinggi ATM, Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan atas jasa, khidmat bakti dan pengorbanan yang dicurahkan oleh pahlawan-pahlawan dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan tanah air tercinta," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh keluarga pahlawan dan perwira yang terkorban ketika bertugas dan dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara.

"Sesungguhnya jerit perih mereka, pejuang tanah air seketika dahulu dan masa kini adalah demi negara kita yang berdaulat.

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama para solihin. Berjuang demi negara," menurut kenyataan itu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!