Serpihan MH370 diserahkan kepada Malaysia

Serpihan pesawat yang dipercayai milik pesawat MH370 diserahkan ke Kementerian Pengangkutan, hari ini. - Foto Bernama
Serpihan pesawat yang dipercayai milik pesawat MH370 diserahkan ke Kementerian Pengangkutan, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA - Ahli keluarga terdekat kepada beberapa mangsa tragedi kehilangan Penerbangan Malaysia MH370 hari ini menyerahkan lima serpihan, yang dipercayai bahagian-bahagian tertentu daripada pesawat malang itu kepada kerajaan Malaysia.

Serpihan yang ditemui di tiga lokasi di Madagascar antara December 2016 dan Ogos lepas itu diserahkan kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam satu majlis ringkas di sini.

Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014, dan menjadi menjadi salah satu daripada kejadian penuh misteri dalam sejarah penerbangan.

Bercakap kepada pemberita di majlis itu Loke berkata, serpihan yang kelihatan seperti panel lantai pesawat itu akan diserahkan kepada Pasukan Penyiasat Keselamatan MH370 untuk verifikasi segera.

"Seperti yang saya nyatakan di Parlimen semalam, kita tidak pernah menutup sebarang kemungkinan. Jika ada petunjuk yang boleh dipercayai, selepas berbincang dan pihak berkuasa merasakan ada petunjuk baru, kami sedia menyiasat,” katanya.

"Kita perlu ada petunjuk yang boleh dipercayai sebelum buat apa-apa keputusan. Sebarang misi mencari, saya perlu kembali kepada kabinet, saya tidak boleh buat keputusan sendiri,” katanya.

Sementara itu penyiasat bebas Blaine Alan Gibson yang membawa lima serpihan berkenaan kepada keluarga terdekat itu berkata serpihan berkenaan ditemui oleh nelayan dan penduduk tempatan Madagascar.

Beliau berkata salah satu bahagian penting serpihan itu dipercayai panel lantai Beoing 777, yang ditemui tahun lepas berhampiran Sandravinany di selatan Madagascar.

Katanya beliau turut merujuk kepada pakar bebas yang mengatakan ada kemungkinan bahagian itu adalah panel lantai pesawat Boeing 777.
Artikel Berkaitan:


"Sekiranya pihak berkuasa dapat mengesahkannya, ia akan menjadi satu penemuan yang amat penting kerana ia menunjukkan lantai pesawat itu berkecai, tidak ada ‘fiuslaj’ (bahagian pesawat) yang tidak terjejas,” katanya.

Sementara itu Grace Nathan, anak perempuan kepada seorang penumpang, Anne Daisy, menggesa kerajaan supaya tidak menutup sebarang peluang untuk mencari MH370.

"Serpihan terdampar di pesisir pantai, berterusan. Ini bermakna kita tidak seharusnya berhenti mencari pesawat itu, Kenapa kita perlu menutup mata terhadap bukti-bukti yang muncul. Ada syarikat-syarikat yang sanggup mencari pesawat itu dengan kaedah "tiada penemuan, tiada pembayaran”.

"Saya berpendapat kita perlu lebih terbuka untuk membenarkan mereka melakukan pencarian,” katanya.

Sehingg kin dilaporkan sudah 27 serpihan pesawar ditemui di pelbagai tempat di seluruh dunia, namun hanya tiga bahagian yang terdampar di pantai Lautan Hindi disahkan dari pesawar MH370.

Misi mencari dilaut dalam digerakkan selama hampir tiga tahun bagi mengesan pesawat itu di Lautan Hindi, meliputi kawasan seluas 120,000 km persegi melibatkan pasukan dari Australia, China dan Malaysia, namun menemui jalan buntu.

Pada 29 Mei syarikat eksplorasi yang berpengkalan di Amerika Syarikat yang melancarkan operasi mencari MH370 di Lautan Hindi, menghentikan operasi selepas gagal menemui apa-apa serpihan sekalipun yang berkaitan dengan pesawat itu.

Julai lepas Pasukan Penyiasat Keselamatan MH370 dalam laporan setebal 449 mukasurat menyimpulkan bahawa mereka gagal mengesahkan punca utama kejadian, namun tidak menolak kemungkinan "gangguan yang menyalahi undang-undang” oleh pihak ketiga membawa kepada kehilangan pesawat berkenaan.- Bernama