Sinar Harian bertahan kerana berani papar kebenaran

Rasuah Busters satu lagi idea dan inisiatif Hussamuddin.
Rasuah Busters satu lagi idea dan inisiatif Hussamuddin.
A
A
A

[WAWANCARA] Tempoh 15 tahun bukan sahaja mematangkan Sinar Harian, malah ia juga membantu akhbar tersebut mencipta kredibiliti yang tersendiri dalam industri media cetak.

Slogan 'Telus dan Tulus' yang dijunjung dilihat berjaya meletakkan jenama akhbar tersebut sebagai sebuah wadah yang dipercayai dan dihormati ramai.

Malah, namanya juga dilihat semakin hari semakin membesar walaupun dunia media berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk ledakan digital.

Semua itu dicapai kerana akhbar tersebut mempunyai hala tuju yang jelas ketika ia mula-mula diterbitkan pada 2006.

Bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang berkongsi kisah suka duka, cabaran dan hala tuju beliau dalam meletakkan Sinar Harian sebagai media yang menjadi suara rakyat Malaysia.

SINAR HARIAN - Mengimbau 15 tahun lalu, bagaimana dan mengapa Datuk tercetus idea untuk menerbitkan akhbar Sinar Harian?

HUSSAMUDDIN - Sebenarnya 15 tahun dulu, masa tu media sosial tidak ada lagi, digital disruption. Media dulu dikawal. Masa tu, semua media di Malaysia kecuali Sinar Harian dimiliki oleh parti politik. Saya adalah orang yang berpegang kepada kebebasan media dan pemikiran politik baharu di mana kita harus berhujah dan bukan politik yang indoctrinate. Sejarah saya dulu, sebelum buat Sinar Harian saya pernah terbitkan akhbar Bacaria, Watan dan Eksklusif.

Semuanya merupakan akhbar bebas yang tidak memihak mana-mana. Masa tu kita tengok rakyat sudah mula gelisah dan mereka perlu satu saluran untuk menyuarakan pandangan mereka. Dan kita melihat politik pada masa tu sudah semakin tidak sihat, kronisme dan kita berharap kita boleh lahirkan pemimpin baharu sebab itulah kita putuskan untuk buat satu surat khabar yang betul-betul bawa suara rakyat.

Kita mula di Kelantan dan kita berharap dengan menjadi suara rakyat ini kita dapat melahirkan pemimpin baharu.

Artikel Berkaitan:

- Selaku sebuah syarikat media yang terkenal sebagai penerbit majalah dan buku, apakah cabaran terbesar bagi Datuk pada waktu mula-mula mahu menzahirkan Sinar Harian?

Cabaran terbesar masa itu, fikiran orang ramai belum terbuka kerana berpuluh tahun mereka disogok dengan satu aliran pemikiran maknanya orang akhbar yang dimiliki oleh UMNO dan apa sahaja mereka buat ahli anggap sebagai betul. Sama juga akhbar yang dimiliki oleh parti lain seperti Harakah dimiliki oleh Pas, Roketkini dimiliki oleh DAP, The Star dimiliki oleh MCA.

Mereka menjadi propaganda parti. Bila kita lahirkan Sinar Harian ada orang tak boleh terima. Sesetengah orang merasakan kenapa Sinar Harian macam ini. Bagi orang yang menyokong UMNO merasakan Sinar Harian jahat.

Bagi orang orang tidak menyokong mana-mana parti merasakan Sinar Harian memberikan ruang kepada kedua-dua belah pihak. Pembangkang dan juga parti pemerintah. Saya rasa masa itu, kita mendahului zaman.

Selalunya, mereka dah biasa makan nasi satu pinggan seorang. Tiba-tiba 20-30 peratus daripada nasi tu kena bagi orang lain. Itu sebenarnya cabaran yang kita hadapi tapi sebab kita dah ada pengalaman terbit Watan dan Eksklusif kita sebagai penerbit tidak terikat dengan mana-mana pihak. Cuma kawalan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) agak ketat jadi kami selalu dipanggil tapi selalu terlepas kerana kita pandai menyeimbangkan.

Hussamuddin
Hussamuddin

- Berbeza dengan arus perdana lain, Sinar Harian sangat dikenali sebagai akhbar komuniti. Selain itu, Sinar Harian juga popular kerana pelaporannya yang tidak memihak dalam bidang politik. Kenapa Datuk membawa Sinar Harian menjadi sebuah akhbar yang berani dan tidak kisah untuk menongkah arus?

Ia sesuai dengan wawasan Karangkraf kerana bila nak buat bisnes ini kita kena buat bisnes yang barakah jadi bila kita buat sesuatu kita kena buat benda yang betul. Ia merupakan tanggungjawab kami kerana syarikat ini dimiliki oleh kami jadi kami merasa bertanggungjawab memaparkan kebenaran.

Jadi kita tidak perlu takut kepada manusia, sebaliknya takut kepada ALLAH. Cuma adakalanya kita terpaksa ikut garis panduan yang ditetapkan oleh KDN kerana mereka mengawal akhbar. Tapi kita tak perlu menjawab kepada UMNO tetapi kita kena jawab kepada keluarga kita dan ALLAH. Jadi kebergantungan kita kepada manusia itu tidak berapa ketara sangat maknanya kita bebas membuat apa yang betul.

- Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, dunia digital telah banyak ‘memakan’ syarikat dan organisasi media konvensional. Di Malaysia sendiri, bukan sedikit akhbar yang terpaksa ditutup, tetapi berbeza dengan Sinar Harian, ia semakin hari semakin membesar. Bagaimana Datuk melakukannya?

Kita merupakan satu syarikat yang lean dan dimiliki oleh keluarga di mana lapisan-lapisan yang membuat keputusan itu tepat. Kami juga selalu mengambil tenaga baharu. Contohnya macam kita mulakan Sinar Harian, 100 peratus adalah orang baharu kecuali Ketua Pengarang.

Mereka tidak ada pengalaman dalam bidang wartawan tapi kita latih. Sekurang-kurangnya minda mereka ini tidak terbentuk lagi dan kita boleh membentuk. Mereka orang muda dan mereka boleh cepat beralih bila datang digital dan menguasainya. Orang muda ini mereka lebih cepat transform.

Maknanya kita fleksibel dan kita berubah mengikut peredaran masa dan selalu kita melihat ke depan. Kita juga melihat dari segi bisnes dan sudut misi kita. Misi kita ialah nak jadi sebuah syarikat penerbitan yang berjaya di dunia dan boleh masuk syurga.

Jadi kami kena buat benda yang betul. Nak masuk syurga kami kena jalankan bisnes yang barakah dan bisnes kena dinamik berpandukan hukum-hukum syarak tapi kita kena ambil apa yang sedang berlaku di dunia tentang teknologi sebab tu apabila Sinar Harian ditubuhkan kita menggunakan teknologi.

Kita adapt teknologi cepat. Kitalah syarikat media pertama di Malaysia malah kita mendahului sesetengah tempat di dunia kerana pada masa tu WhatsApp tiada lagi, tapi kita sudah gunakan PDA. Kita bekalkan PDA dan kamera digital kepada wartawan untuk melaporkan berita. Operasi kita low cost.

Kita menguasai teknologi, berubah mengikut peredaran zaman dan kos operasi kita kecil. Sebagai contoh, setiap daerah kita tiada pejabat tapi kita bekalkan kereta kancil yang menjadi pejabat bergerak kepada wartawan untuk hantarkan berita kepada ibu pejabat dalam masa sebenar.

Dulu orang guna teknologi berjuta untuk hasilkan berita tapi kita gunakan desktop teknologi sahaja. Ini boleh dilakukan kerana team kita faham dan mereka adalah orang muda yang cepat menguasai teknologi sehinggalah saya sendiri dan Encik Syamil Fahim, Ketua Pegawai Teknologi dipanggil ke forum-forum antarabangsa untuk berkongsi pengalaman bagaimana kita menguruskan sebuah akhbar menggunakan teknologi yang begitu murah.

Hussamuddin bersama tetamu kenamaan pada program Malaysia #QuranHour yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya pada tahun 2019.
Hussamuddin bersama tetamu kenamaan pada program Malaysia #QuranHour yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya pada tahun 2019.

- Selepas 15 tahun, Sinar Harian bukan lagi akhbar kecil yang bermain di belakang akhbar perdana lain. Hari ini Sinar Harian bukan sahaja berdiri sebagai akhbar nombor satu negara, antara lima portal berita paling popular Malaysia bahkan kini sebuah media yang menjadi trendsetter nasional. Bagaimana Datuk melihat jatuh bangun dan transformasi akhbar ini?

Sinar Harian mendahului zaman. Sejak 2006 lagi sehingga 2018, Sinar Harian ada 12 tahun untuk memenuhi kekosongan dalam market yang mana surat khabar lain tak berani, tapi Sinar Harian memberi tempat kepada dua-dua belah pihak berhujah atau beri pandangan. Kita mulakan dulu wacana sinar, debat bermula 10 tahun lepas lagi masa tu orang lain tak berani mementaskan perdebatan kepada dua pihak atau memberi ruang kepada parti pembangkang tapi Sinar Harian berani.

- Dalam 15 tahun ini, banyak program, kempen dan penajaan dilakukan Sinar Harian daripada bola sepak sehinggalah kempen Uninstall Hatred Reboot Malaysia. Mungkin dalam banyak-banyak program tersebut, apakah momen yang paling mengesankan kepada Datuk?

Misi kita daripada awal adalah memandaikan bangsa. Semenjak Karangkraf ditubuhkan 40 tahun lalu kita mahu orang Malaysia ini suka membaca dan jadi lebih pandai dengan membaca. Kita mula dengan buku, majalah dan orang Malaysia makin ramai membaca. Bila kita buat Sinar Harian orang pun baca dan politik lebih terbuka. Maksudnya, Karangkraf sudah menyumbangkan untuk memandaikan orang Malaysia. Bila saya lihat rasuah semakin berleluasa, orang mula bergaduh sesama sendiri dan fitnah makin berleluasa jadi saya rasa keruntuhan moral bangsa kita menjadi semakin teruk. Kita ini majoritinya orang Melayu jadi saya rasa untuk membaiki keadaan kita kena memulihkan dulu cara hidup, fikir dan operasi sistem orang Melayu.

Saya buat kajian, lapan tahun lepas, rupanya ramai orang Islam tidak pandai baca Quran. Yang boleh baca ramai, tapi tak faham. Dan yang faham ramai, tapi tak amal. Jadi 2013, saya mulakan sebuah gerakan dan tubuhkan Yayasan Ummah Ikhlas yang mana buat kempen baca, faham dan amal quran. Melalui Quran Hour dan aktifkan rumah ngaji.

Kalaulah boleh fahamkan orang Melayu dengan agama mereka dengan baca Quran dan faham Quran, jadi pendekatan bacaan quran kena berubah.

- Hari ini genap 15 tahun Sinar Harian menyinari Malaysia, apakah ucapan Datuk terutamanya kepada pembaca Sinar Harian yang setia bersama akhbar ini?

Pertama, saya nak ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada semua pembaca dan pengikut produk serta platform Sinar Harian kerana percaya kepada kita. Saya terharu sebab orang di kampung tu bila sebut Sinar Harian, mereka teruskan kaitkan dengan inisiatif kita, bila jumpa orang politik peringkat mana sekalipun kita boleh diterima walaupun dua-dua belah pihak.

Kadang-kadang dia tak suka apa yang kita siar kerana menjadi liabiliti dan menolong pihak lain tetapi sebenarnya dia dah terima. Jadi saya amat hargai penerimaan terhadap Sinar Harian dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua team Sinar Harian yang bermati-matian melahirkan akhbar ini dari zero sampai sekarang.