Hanya memihak kepada rakyat

Rozaid mencabut borang penyertaan Peraduan Sinar Harian Di Hatiku pada majlis final pada Januari lalu.
Rozaid mencabut borang penyertaan Peraduan Sinar Harian Di Hatiku pada majlis final pada Januari lalu.
A
A
A

[WAWANCARA] Menentukan pengisian akhbar adalah tanggungjawab utama Ketua Pengarang bagi memastikan berita yang disampaikan komprehensif dan dinamik selain memenuhi keperluan isu semasa dan cita rasa pembaca.

Ikuti wawancara istimewa bersama Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Abdul Rahman sempena 15 tahun akhbar ini.

SINAR HARIAN - Saudara mengetuai Sinar Harian sebagai Ketua Pengarang Kumpulan tujuh bulan yang lalu. Boleh kongsikan sedikit hasil pemerhatian yang singkat ini selama berada di Sinar Harian.

ROZAID - Setiap akhbar atau media membesar dengan cara dan gayanya yang tersendiri. Begitu juga dengan para pengendalinya.

Saya menghabiskan sebahagian besar masa dan kerjaya saya dengan akhbar arus perdana yang sama sekali berbeza dari segi pemberitaan dan pendekatan dalam mendepani isu-isu semasa berbanding Sinar Harian. Bermula dari era mesin taip masih menjadi 'gajet' utama di pejabat bersama mesin teleks sehinggalah kepada ledakan revolusi telefon, internet dan media sosial.

Selepas 37 tahun, saya ditakdirkan berlabuh di Sinar Harian - sebuah akhbar yang unik yang berada di dalam kelasnya yang tersendiri, tulus dan telus, berani dan benar-benar mendepani isu yang dekat di hati rakyat.

Akhbar ini bermula sebagai sebuah akhbar regional yang berpusat di Kelantan dan Pantai Timur. Dalam tempoh 15 tahun sahaja ia telah berevolusi sehingga menjadi sebuah akhbar nasional dan nombor satu di Malaysia.

Suara Sinar adalah suara rakyat. Para pemimpin dan Ketua Pengarang yang terdahulu daripada saya - Allahyarham Datuk Jalil Ali, Encik Norden Mohamad dan Allahyarham Datuk Baharom Mahusin - semuanya telah meletakkan asas yang kukuh untuk akhbar ini bertapak dan terus maju ke hadapan.

Artikel Berkaitan:

Masing-masing meninggalkan legasi yang tersendiri dan dikenang oleh rakan dan anak buah. Bulan Julai adalah bulan ketujuh saya memimpin Sinar Harian. Tetapi hari pertama saya memulakan tugas di Sinar Harian pada 4 Januari 2021 adalah hari yang tidak dapat saya lupakan kerana saya dapati saya dikelilingi oleh wartawan-wartawan dan pengarang-pengarang muda yang dinamik, elegan dan berwawasan.

- Sebagai seorang yang telah berkecimpung hampir 40 tahun dalam industri, apakah persepsi awal saudara sebaik sahaja menyertai keluarga Sinar Harian?

Kelebihan Sinar Harian ialah ia tidak dimiliki atau memiliki political master. Ia tidak memihak. Ia hanya memihak kepada rakyat. Sebab itulah suara Sinar ialah suara rakyat, slogan kita ialah 'Sinar untuk Malaysia' dan 'Perkasakan Suara Malaysia'. Para karyawan Sinar Harian perlu bersyukur dan menyedari hakikat ini bahawa mereka tidak dibelenggu oleh bebanan untuk melaksanakan kehendak dan hasrat mana-mana political master. Kita beri liputan kepada semua sebaik dan sebebas yang boleh. Sinar Harian adalah trendsetter kepada pelbagai gerakan massa di negara ini termasuklah gerakan Rasuah Busters, World Quran Hours dan banyak lagi.

Kita sedar tidak semua orang akan bersama-sama kita atau menyokong kita, tapi selagi kita selami isi hati rakyat dan rasai degup jantung dan nadi rakyat - Insya-ALLAH kita akan berada di landasan yang betul.

Rozaid
Rozaid

- Bagaimana pula saudara melihat cabaran dan kekangan yang perlu dan sedang dihadapi oleh industri media pada masa ini khususnya di era pandemik ini?

Cabaran terbesar industri media ialah bagaimana untuk terus hidup dan mengekalkan operasi agar kita dapat berkhidmat kepada masyarakat dan melaporkan apa yang berlaku dengan telus dan tulus.

Media memerlukan sokongan rakyat agar suara mereka dapat diketengahkan dan didengari. Media adalah jambatan di antara rakyat dengan pemerintah.

Hari ini cabaran terbesar kita ialah pandemik Covid-19 kerana kawalan terhadap pergerakan menjejaskan jualan harian akhbar-akhbar.

Sinar Harian sepertimana akhbar-akhbar yang lain perlu mencari alternatif dan jalan untuk terus beroperasi dalam situasi yang terhad ini. Yang lebih memburukkan keadaan ialah kita tidak tahu bilakah situasi ini akan berakhir.

Media jika tidak kreatif dan berubah mengikut masa akan berakhir sepertimana Kodak - luput dari muka bumi ini.

- Bagaimana saudara melihat Sinar Harian dan industri media lima tahun dari sekarang?

Sepertimana yang saya sebutkan tadi, media mestilah berkembang mengikut arus masa jika mahu terus kekal relevan kepada masyarakat kerana pembaca ada banyak pilihan. Cuma yang membezakan kita ialah media tidak melaporkan sesuatu yang tidak sahih walaupun ada waktu-waktunya media juga tertekan dengan kewujudan media sosial yang bergerak lebih pantas dan menyebarkan sesuatu tanpa perlu mengesahkannya terlebih dahulu.

Kita terikat dengan etika-etika tertentu sepertimana yang kita semua pelajari di sekolah kewartawanan. Jadi kecanggihan teknologi moden yang membolehkan sesiapa sahaja ‘menjadi wartawan’ adalah satu cabaran besar kepada pengamal media massa. Kita juga telah menyaksikan bagaimana rakan-rakan media yang lain terpaksa menutup operasi dan hilang dari muka bumi walaupun telah beroperasi lebih 80 tahun.

Jadi untuk terus kekal relevan kita mestilah belajar dari pengalaman yang pernah dilalui oleh orang lain dan menjadi multitasking dan berupaya berkembang menjadi relevan mengikut peredaran masa. Saya yakin dan percaya selagi Sinar Harian kekal bebas dan melakukan perkara yang betul, ia akan terus hidup dan mendapat tempat di hati rakyat tidak kira setahun atau lima tahun dari sekarang atau di masa-masa akan datang untuk terus menyambut ulangtahun kelahirannya setiap tahun. Peneraju dan tenaga karyawannya boleh bersilih ganti tetapi Sinar Harian tetap hidup selagi ada bulan dan bintang. Insya-ALLAH.