Sinar Harian bukan sekadar menyampai berita

Farah bersama Ketua Pengarang Kumpulan, Rozaid Abdul Rahman (kiri) dan para juri Peraduan Sinar Harian DiHatiku pada sesi penjurian Januari lalu.
Farah bersama Ketua Pengarang Kumpulan, Rozaid Abdul Rahman (kiri) dan para juri Peraduan Sinar Harian DiHatiku pada sesi penjurian Januari lalu.
A
A
A

[WAWANCARA] Sempena ulang tahun ke-15 Sinar Harian, ikuti temubual eksklusif bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Farah Hussamuddin yang bertanggungjawab menentukan masa depan jenama berkenaan.

Beliau mengupas mengenai hala tuju, pengurusan dan cabaran membawa legasi jenama Sinar Harian menerobos era digital yang serba mencabar ini.

SINAR HARIAN - Pada Jun lalu, genap dua tahun Farah kembali bersama Sinar Harian selepas mengetuai Grup Majalah. Adakah Sinar Harian sedang melalui landasan yang dicitakan dalam tempoh dua tahun itu?

FARAH - Memimpin Sinar Harian dan Kumpulan Majalah menuntut cabaran yang berbeza. Walaupun kedua-duanya masih berlegar dalam industri media, namun ia berbeza dari segi pengurusan, cara kerja, isi kandungan, hala tuju dan idea-idea baharu.

Apatah lagi pada zaman ledakan dunia digital, Sinar Harian perlu bergerak ke depan dengan pantas dan menghasilkan idea-idea baharu yang segar.

Malah sebagai sebuah akhbar yang sejak sekian lama menjadi suara rakyat, sudah tentunya obligasi akhbar ini sangat besar terhadap orang ramai dan negara.

Rakyat Malaysia boleh melihat bagaimana Sinar Harian bukan sekadar menjadi akhbar penyampai berita. Dengan gabungan kepimpinan lama dan baharu, Sinar Harian turut menggerakkan tanggungjawab lebih besar iaitu membina pemikiran rakyat.

Sebagai contoh pada tahun lalu, kami berusaha memberi semangat kepada rakyat Malaysia yang bergelut dengan Covid-19 menerusi kempen, Jangan Putus Asa Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Tahun ini, kami mempelopori pula gerakan Rasuah Busters dan kempen Memperkasakan Suara Malaysia. Apa yang pasti, dalam tempoh beberapa tahun ini, kita telah melihat Sinar Harian berevolusi daripada sebuah media regional kepada media arus perdana. Lebih manis, akhbar ini bukan sahaja telah berdiri sama tinggi dengan media perdana lain, malah kini merupakan akhbar nombor 1 di Malaysia.

Farah
Farah

-Diterbitkan pada 31 Julai 2006, hari ini Sinar Harian genap mencecah usia 15 tahun. Bagaimana Farah melihat transformasi dan perjalanan Sinar Harian dalam tempoh 15 tahun?

Ia bukan sesuatu yang mudah namun kami mampu bertahan dalam tempoh berkenaan. Daripada sebuah penerbit tradisional kami bersaing dalam persekitaran digital yang mencabar.

Kami siapkan diri dengan kakitangan yang mahir dengan digital dan mempunyai pengetahuan serta kemahiran untuk menyokong strategi syarikat dari segi apa yang ditawarkan oleh Sinar Harian kepada pembaca-pembacanya di luar sana.

- Ada pendapat menyatakan industri media, terutamanya konvensional tidak lagi relevan sekitar dua hingga lima tahun apabila digital mengambil peranan. Bagaimana Farah melihat masa depan Sinar Harian?

Ramai orang telah berkata tentang perkara ini sejak bertahun yang lalu. Kami telah melakukan beberapa inisiatif sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran tersebut.

Pada pandangan saya, selagi kita jujur dan konsisten dengan content sendiri, tidak kira sama ada di platform akhbar atau digital, jenama kita akan kekal relevan. Orang ramai harus berupaya menyedari keunikan content dan jenama kita, dan itu yang kita kita cuba lakukan di kedua-dua platform, digital dan akhbar. Pada ketika ini, penerimaan era digital adalah perlu untuk semua media.

Saya sendiri mendapatkan berita daripada sumber digital, jadi saya mahukan perkara sama dilakukan oleh kakitangan syarikat iaitu memanfaatkan trend digital, sekali gus memastikan Sinar Harian mendekatkan diri dengan pembacanya menerusi semua platform digital yang ada.

Bagaimanapun, tidak semua perkara bersesuaian untuk dilakukan. Buat masa ini, Sinar Harian adalah akhbar berbahasa Melayu yang mempunyai edaran paling tinggi. 70 peratus daripada pendapatan kami masih lagi diperoleh daripada jualan edisi cetak, termasuk pengiklanan.

Oleh itu, adalah perlu untuk mengekalkan apa yang sememangnya mudah untuk kita capai dan pada masa sama bersedia untuk masa depan.

- Menjadi CEO wanita pada usia muda kepada sebuah syarikat media terkemuka bukanlah perkara mudah. Bagaimana Farah menggalas tanggungjawab besar ini, terutamanya apabila posisi utama dalam syarikat dimonopoli oleh kaum lelaki?

Menjadi seorang wanita dalam industri yang dimonopoli oleh lelaki bermakna saya membawa persepektif yang berbeza.

Namun, ia bukanlah soal lelaki, wanita atau umur yang menjadi perkara asas. Sebaliknya, ia tentang bagaimana kamu bekerjasama dalam sebuah organisasi untuk menyampaikan nilai kepada masyarakat di Malaysia.

Tanggungjawab kerja, suami dan anak adalah persepektif yang berbeza namun kesemuanya menjadi alasan penting kepada saya untuk bekerja lebih keras.