Patuh SOP, tingkat vaksinasi kunci utama kekang Covid-19 di Sabah

Pasukan Mobile Vaccination Team (MVT) terpaksa menaiki feri menyeberangi Sungai Labuk untuk memberikan suntikan Vaksin COVID-19 kepada penduduk Kampung Ansuan. - Foto Bernama
Pasukan Mobile Vaccination Team (MVT) terpaksa menaiki feri menyeberangi Sungai Labuk untuk memberikan suntikan Vaksin COVID-19 kepada penduduk Kampung Ansuan. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam komuniti dan meningkatkan kadar vaksinasi kepada penduduk merupakan kunci utama bagi 'memerangi' pandemik Covid-19 di Sabah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap rasmi kerajaan Sabah berkenaan Covid-19 itu menjelaskan,kaedah ‘lockdown' atau sekatan pergerakan terutama Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bukan lagi satu-satunya jalan penyelesaian bagi mengekang Covid-19 di negeri itu.

“Apabila virus Covid-19 sudah berada dalam komuniti, setiap individu berpotensi menjadi pembawa dan penyebar virus, justeru mengehadkan pergerakan mereka tanpa SOP atau vaksin dalam 'lockdown' dan PKPD boleh mengundang peningkatan kes,” katanya kepada Bernama menerusi WhatsApp hari ini.

Peningkatan kadar vaksinasi penduduk ujarnya membolehkan Sabah mencapai imuniti kelompok dan penguatkuasaan pematuhan SOP terbukti lebih berkesan menurunkan jumlah jangkitan setiap hari dalam suasana jangkitan yang sudah berubah kepada jangkitan dalam komuniti kini.

"Pendekatan ini (patuhi SOP) sudah terbukti berkesan di tempat lain, apa yang perlu ialah bekalan vaksin yang cukup dan jadual penghantaran vaksin yang tidak terganggu," katanya.

Apa yang lebih membimbangkan, ujar Masidi apabila anggota komuniti tidak menyedari mereka boleh menjadi pembawa virus, malah penduduk di Sabah kini agak lesu kerana terkurung dengan 'lockdown' dan PKPD hingga mungkin menyebabkan mereka lalai untuk mematuhi SOP secara keseluruhan.

"Tidak kira kita sudah divaksin atau belum setiap daripada kita berpotensi menjadi pembawa virus, malah kita boleh menjangkiti orang di sekeliling walaupun kita berada dalam lockdown atau PKPD. Dahulu 'lockdown' berkesan kerana jangkitan dalam kawasan terhad, sekarang jangkitan dalam komuniti,” katanya.

Mengulas berhubung situasi virus dalam komuniti di Sabah, tegasnya ini dapat dilihat jelas apabila saringan secara besar-besaran Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mendapati bahawa kontak rapat didapati menyumbang kumpulan tertinggi jangkitan kes harian sejak kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

Hari ini sahaja, 640 kes atau 60.04 peratus daripada keseluruhan 1,066 kes positif Covid-19 dikesan daripada kontak rapat. Situasi ini membimbangkan kerana kontak rapat ini mempunyai jaringan rakan dan keluarga yang berpotensi untuk mereka jangkiti.

Mengulas mengenai kapasiti vaksinasi Sabah, jelas Masidi JKNS kini mempunyai kapasiti pemberian vaksin mencecah 50,000 dos sehari dan sedang berusaha meningkatkan kapasiti itu kepada 60,000 dos sehari bergantung kepada bekalan vaksin yang diterima. -Bernama