Sri Pahang FC tagih magis Malik,Hidalgo

Hidalgo (kanan) menjadi senjata terbaik Sri Pahang FC bagi merobek gawang lawan. Foto: FB SRI PAHANG FC
Hidalgo (kanan) menjadi senjata terbaik Sri Pahang FC bagi merobek gawang lawan. Foto: FB SRI PAHANG FC
A
A
A

GANDINGAN dua penyerang utama Sri Pahang FC - Abdul Malik Mat Ariff dan Manuel Hidalgo diharap mampu memberi impak luar biasa pada aksi Liga Super menentang Petaling Jaya (PJ) City FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan Ahad ini,sekali gus membantu misi pasukan keluar dari zon penyingkiran.

Pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh, mengakui dua tonggak pasukan itu menjadi nadi untuk menghasilkan peluang dalam menjaringkan gol seperti dilakukan dalam aksi ketika berdepan Melaka United FC dan Sabah FC sebelum ini.

Selain mengakui berpuas hati dengan aksi ditonjolkan pasukannya dalam dua perlawanan terakhir, beliau mengharapkan barisan pemain dapat mengelak daripada melakukan kesilapan pada minit akhir yang boleh membawa kepada kekalahan ataupun keputusan seri.

“Kalau nak bercakap pasal prestasi, mereka semakin mantap cuma macam biasa kita sentiasa cuai dan leka pada minit-minit akhir. Kali ini saya harap mereka dapat kekalkan prestasi terutama gandingan di bahagian hadapan iaitu Malik dan Hidalgo.

"Kalau kita tengok aksi sebelum ini, pergerakan daripada mereka di bahagian hadapan menghidupkan pasukan. Jadi selepas beberapa perlawanan beraksi bersama, saya percaya kedua-duanya akan dapat beri lebih lagi untuk menewaskan PJ City FC,” menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Sri Pahang kini masih merehatkan pemain tengahnya Abubakar Yakubu, yang dihimpit kecederaan buku lali sewaktu perlawanan menentang Melaka 25 Julai lepas.

Perak FC pula berharap meraih sesuatu yang positif apabila turun menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri esok biarpun sedar akan kesukaran untuk menang dalam perlawanan itu.

Jurang kedudukan antara kedua-dua pasukan ini cukup besar yang menyaksikan Perak FC kini di tangga kedua terakhir berbanding JDT selaku pendahulu liga.

Artikel Berkaitan:

Namun pengendali Perak FC Chong Yee Fatt menyifatkan anak buahnya sedar akan tanggungjawab mereka untuk memberikan sehabis baik seperti yang dilakukan ketika menentang Kuala Lumpur City FC tempoh hari dengan keputusan seri 0-0.

“Semua tahu bukanlah perlawanan mudah jika berdepan JDT dan saya harap pasukan dapat memberikan pertarungan sengit untuk meraih sesuatu," katanya. -Bernama