Ku Li syor PM, menteri letak jawatan

Tengku Razaleigh. - Foto SINAR HARIAN oleh Halim Wahid.
Tengku Razaleigh. - Foto SINAR HARIAN oleh Halim Wahid.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengesyorkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri di dalam kerajaan yang ada meletakkan jawatan serta berundur daripada pemerintahan negara.

Menurutnya, jika dilihat kenyataan dari Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak pernah dipersembahkan Ordinan Darurat bagi mendapat perkenan dibatalkan.

“Dia (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) kata 21 Julai, kabinet telah setuju membatalkannnya. Kalau membatalkannya orang yang boleh membatalkannya Yang di-Pertuan Agong semasa Parlimen tidak bersidang.

“Tetapi sekarang Parlimen bersidang, biarlah ahli Parlimen di Dewan Rakyat, di Dewan Negara membincangkan, membahaskannya dan kita akan memutus sama ada patut atau tidak dibatalkan. Bukan kuasa kabinet.

“Saya rasa ini pembohongan besar dan rasa tidak cerdik kerajaan melakukan perbuatan seumpama ini. Saya rasa bukan sahaja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), seluruh kabinet bawah pimpinan Perdana Menteri sekarang bertanggungawab tentang ini,” katanya menerusi sidang akhbar di Facebooknya pada Jumaat.

Yang di-Pertuan Agong sebelum ini menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, kuasa yang ada perlu diserahkan semula kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menentukan masa depan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Dengan kita buang penghalangan ini, mungkin keadaan ekonomi bertambah baik dan strategi baharu boleh digunakan untuk kita mengakhiri wabak Covid-19 yang mengancam keselamatan rakyat.

“Berapa ribu lagi nak tunggu rakyat meninggal dunia dan sebagainya sebelum satu tindakan efektif boleh dilakukan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh turut mempersoalkan mengapa anggota kabinet yang mewakili UMNO, tidak memaklumkan keputusan pembatalan Ordinan Darurat itu kepada parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Sepatutnya beritahu pihak kami bahawa keputusan ini telah dibuat oleh kabinet secara rahsia kepada kita supaya kita dapat tahu apa yang sebenarnya berlaku dalam kerajaan. Tetapi kita tidak tahu dan kita terkejut.

“Sidang Parlimen ketika ini adalah atas pandangan Yang di-Pertuan Agong untuk menimbang Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat, namun sia-sialah kita hadir jika tak dapat menimbangnya,” ujarnya.