Zii Jia sudah move on!

Zii Jia akur gagal meneruskan langkah lebih jauh pada Sukan Olimpik kali ini. Foto: FB MSN
Zii Jia akur gagal meneruskan langkah lebih jauh pada Sukan Olimpik kali ini. Foto: FB MSN
A
A
A

JAGUH perseorangan negara, Lee Zii Jia berazam untuk kembali bangkit bagi meneruskan perjuangannya pada kejohanan akan datang.

Menerusi kenyataannya di laman Facebook pada Jumaat, Zii Jia mengakui kekalahan kepada pemain China, Chen Long dalam aksi pusingan 16 terbaik Sukan Olimpik Tokyo 2020 membuktikan dia masih belum cukup ampuh.

Justeru atlet berusia 23 tahun itu turut berazam untuk untuk meneruskan perjuangannya agar lagu Negaraku kembali bergema di podium suatu hari nanti.

“Wahai Olimpik yang pertama, saya Hang Lee Zii Jia terpaksa akur setakat ini saja. Sedih, sayu, kecewa, hampa...seribu perasaan yang tidak terkata.

“Walaupun saya berazam ingin mempamerkan satu aksi yang boleh memberikan sedikit harapan kepada seluruh Malaysia yang sedang bertungkus lumus mengharungi pandemik Covid-19, tetapi masih tidak kesampaian niat saya.

“Walaupun saya ingin nyatakan ‘Hidupku Bukan hanya Mimpi’ tapi kesalnya saya gagal lakukannya. Terima kasih kepasa semua pihak yang memberi kata-kata semangat dan sokongan padu kepada saya,” katanya.

Pada Khamis, perjuangan Zii Jia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 berakhir apabila tewas 21-8, 19-21, 5-21kepada Chen Long.

Kekalahan berkenaan turut menyaksikan harapan pingat yang disandarkan kepada Zii Jia dalam acara perseorangan lelaki pada Sukan Olimpik kali ini tidak kesampaian.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Zii Jia turut mengakui dapat merasai makna sebenar sebagai seorang atlet apabila berjaya beraksi di temasya Sukan Olimpik.

“Saya benar-benar dapat merasakan makna sebenar sebagai seorang atlet yang dapat menjejak langkah ke kejohanan ini. Ia amatlah tak ternilai.

“Terima kasih kepada pihak penganjur yang berjaya melangsungkan Sukan Olimpik Tokyo, 2020,” katanya.