Suhakam gesa pihak berkuasa mudah cara perhimpunan aman esok

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM- Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa pihak berkuasa untuk memudah cara Perhimpunan 'Keluar dan #Lawan' yang dijangka diadakan esok.

Suhakam dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, perkara itu boleh dilakukan dengan menyediakan ruang yang mencukupi di kawasan bersesuaian agar perhimpunan dapat diadakan, dan membolehkan penjarakan fizikal serta saringan kesihatan terhadap peserta dapat dijalankan dengan selamat.

Menurutnya, selain itu semua pihak termasuk polis dan penganjur diharap dapat bekerjasama bagi mencapai situasi menang-menang, selari dengan memenuhi hak untuk berhimpun secara aman sementara menangani pandemik Covid-19 serta isu kesihatan awam.

“Suhakam juga menyeru pihak penganjur dan semua individu yang ingin menyertai perhimpunan aman agar memantau serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada setiap masa.

“Mereka yang mempunyai simptom Covid-19 atau golongan berisiko tinggi perlu menghindari daripada menyertai perhimpunan aman,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) merancang mengadakan perhimpunan aman di Dataran Merdeka pada Sabtu sebagai bantahan terhadap kegagalan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perhimpunan tersebut merupakan lanjutan bantahan #Lawan yang diadakan secara dalam talian dengan orang ramai berkongsi gambar bersama bendera hitam.

Dalam pada itu, Suhakam turut menyuarakan kebimbangan dengan cara polis menahan penganjur dan aktivis perhimpunan, termasuk tindakan merampas barangan peribadi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, polis sepatutnya mempunyai kewajiban moral dan undang-undang bagi memudah cara perhimpunan aman serta memelihara hak untuk bersuara.

“Suhakam ingin mengingatkan kerajaan akan komitmennya dalam Kitaran Ketiga Penilaian Berkala Sejagat (UPR) pada 2018, yang menerima semua syor untuk menilai semula Akta Perhimpunan Aman bagi menghapuskan diskriminasi dan halangan kepada perhimpunan aman," katanya.