Ekonomi utama dalam fasa pemulihan

Dr Mohd Uzir
Dr Mohd Uzir
A
A
A

SHAH ALAM - Petunjuk ekonomi utama bagi tempoh lima bulan pertama 2021 menunjukkan momentum pemulihan walaupun negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penularan Covid-19 disebabkan varian yang lebih cepat menular memburukkan lagi krisis kesihatan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya, seiring dengan asas yang rendah pada Mei 2020, perdagangan Malaysia terus melonjak tahun ke tahun sebanyak 48.7 peratus, meneruskan pertumbuhan dua digit selama empat bulan berturut-turut.

“Eksport Malaysia meningkat 47.3 peratus didorong kenaikan eksport domestik yang mengembang 45.9 peratus dan eksport semula yang mengukuh kepada 56.1 peratus.

“Import meningkat 50.3 peratus, melebihi pertumbuhan eksport buat pertama kalinya sejak April 2020. Imbangan dagangan kekal mencatatkan lebihan iaitu RM13.7 bilion dengan peningkatan 32.3 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pada Mei 2021 turut bertumbuh sebanyak dua digit dan mencatatkan kenaikan 26 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya berikutan kesan asas yang rendah.

“Peningkatan ketara ini didorong semua sektor terutamanya pembuatan dan perlombongan serta pasaran eksport yang kukuh, manakala pembuatan sebagai komponen terbesar dalam IPP mencatatkan 29.8 peratus dipacu pertumbuhan output berorientasikan eksport dan domestik.

“Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif 28.3 peratus tahun ke tahun pada Mei 2021 dengan nilai jualan berjumlah RM108.3 bilion. Bagi indeks volum, sektor ini meningkat 27.2 peratus, didorong terutamanya oleh kenderaan bermotor yang berkembang 66 peratus.

Artikel Berkaitan:

“Pengeluaran getah asli dalam tempoh yang sama juga meningkat dua digit sebanyak 33.8 peratus kepada 28,164 tan metrik manakala bagi bulan ke bulan juga naik 22.4 peratus (April 2021: 23,013 tan metrik),” ujarnya.

Beliau berkata, dari sudut harga, kadar inflasi Malaysia pada Mei 2021 melepasi empat peratus buat kali kedua berturut-turut pada tahun ini, disumbangkan kenaikan berterusan Indeks Harga makanan global yang melonjakkan harga makanan di Malaysia.

“Oleh itu, Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 4.4 peratus kepada 123.1 berbanding 117.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Terutamanya dipengaruhi peningkatan dalam pengangkutan; perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain; hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah serta makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 72 peratus pada keseluruhan wajaran,” jelasnya.

Pada masa sama, Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan berada pada aras ketinggian baharu iaitu 111.6 mata indeks setelah mencatatkan peningkatan 11.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini disumbangkan kenaikan ketara dalam produk industri utama yang mendorong kepada lonjakan indeks perlombongan sebanyak 68.5 peratus dan indeks pertanian, perhutanan serta perikanan sebanyak 60 peratus,” katanya.