20 hingga 35 peratus penerima vaksin tidak hadir janji temu

Prof Dr Helen (kiri) berbincang dengan Pegawai Perubatan Kanan UMS Muhammad Syafiq Abdullah mengenai semakan senarai nama yang tidak menghadirkan diri untuk mendapatkan suntikan vaksin di PPV UMS. Foto Bernama
Prof Dr Helen (kiri) berbincang dengan Pegawai Perubatan Kanan UMS Muhammad Syafiq Abdullah mengenai semakan senarai nama yang tidak menghadirkan diri untuk mendapatkan suntikan vaksin di PPV UMS. Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Sudah dapat janji temu tetapi tidak hadir, begitulah dilema dialami pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini apabila 20 hingga 35 peratus penerima vaksin Covid-19 tidak hadir janji temu seperti ditetapkan dalam aplikasi Mysejahtera setiap hari.

Pengarah Hospital UMS, Profesor Dr Helen Benedict Lasimbang berkata, situasi itu mendatangkan kesukaran kepada PPV UMS untuk memberikan vaksin secara optimum selain menyulitkan usaha PPV itu mencapai sasaran kapasiti 3,000 dos vaksin sehari.

"Kami sangat susah cari pengganti, sasaran kami 3,000 dos dan meskipun janji temu dah sampai 4,000 dos pun masih lagi tidak dapat capai sasaran disebabkan situasi begini (tidak hadir janji temu).

"Saya harap penduduk Sabah hari-hari tengok MySejahtera kamu (semak MySejahtera anda setiap hari), semua kena datang ikut janji temu diberikan MySejahtera selain sentiasa kemas kini MySejahtera kamu...ini adalah perkara serius bagi memberikan perlindungan terhadap Covid-19," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Dr Helen berkata PPV UMS yang dibuka pada 14 Jun lepas pada mulanya hanya mampu memberikan 1,000 dos vaksin Covid-19 dalam sehari sebelum ditingkatkan kepada 1,500 dos sehari pada minggu lepas, dan terbaharu ditingkatkan lagi kepada 3,000 dos sehari, minggu ini.

Beliau bersama petugas media sebelum itu meninjau pergerakan aliran trafik UMS yang kini tidak lagi sesak setelah beberapa penambahbaikkan dilakukan, antaranya mengubah lokasi pengimbas aplikasi MySejahtera dari pintu pagar utama ke dalam kawasan PPV. - Bernama

Artikel Berkaitan: