Tempoh reman 'kartel projek' disambung empat hari

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tahanan reman seorang kontraktor iaitu dalang sindiket kartel projek bagi membolot projek bernilai jutaan ringgit di Selangor disambung empat hari bermula Khamis bagi membantu siasatan kes rasuah.

Menurut sumber SPRM, turut disambung reman bagi tempoh sama ialah pegawai daerah dan seorang juruukur bahan yang dipercayai bersekongkol bersama syarikat kontraktor terbabit.

Katanya, sebelum ini, ketiga-tiga suspek itu dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu untuk mendapatkan perintah sambungan reman mulai Khamis hingga Ahad.

"Selain suspek terbabit, SPRM turut mendapatkan tempoh sambung reman selama dua hari terhadap bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran di Selangor kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor dan pemaju perumahan di kawasan masing-masing.

"Kedua-dua suspek berusia 47 tahun yang kini memegang jawatan pegawai daerah itu akan disambung reman masing-masing mulai Khamis hingga Jumaat," kata sumber itu.

Sumber SPRM itu berkata, sebelum ini, kedua-dua suspek berkenaan bersama kontraktor terbabit direman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula 23 Julai hingga Rabu.

Katanya, juruukur bahan dan pegawai daerah itu pula direman selama lima hari bermula 24 Julai hingga Rabu selepas Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan SPRM.

Pada 23 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan kontraktor terbabit dipercayai mengawal 16 syarikat yang didaftarkan atas nama saudara dan pekerja-pekerjanya bagi mendapatkan projek-projek di dua majlis perbandaran yang pernah diterajui YDP berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dianggarkan projek-projek yang dimonopoli itu mencecah jutaan ringgit sejak 2018 hingga 2021.