Maxis catat untung bersih tinggi RM360 juta pada suku kedua

No Image Caption
A
A
A

MAXIS Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM360 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021 berbanding RM342 juta pada suku tahun sama pada tahun lepas.

Perolehan naik 5.3 peratus kepada RM2.26 bilion daripada RM2.15 bilion sebelum ini, berikutan sumbangan yang lebih baik daripada perniagaan pascabayar dan fiber, menurut penyedia telekomunikasi itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat.

Katanya, perolehan perkhidmatan pascabayar meningkat 2.2 peratus tahun ke tahun kepada RM1.002 bilion, bagaimanapun perolehan perkhidmatan prabayar merosot 0.1 peratus tahun ke tahun kepada RM685 juta.

Dalam makluman berasingan, Maxis berkata, prestasi yang berdaya tahan dalam tempoh tersebut berdasarkan strategi penyelesaian disatukan, selain memberi tumpuan kepada sambungan dan sokongan yang terbaik kepada komuniti dalam persekitaran mencabar ini.

Katanya, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) naik 6.1 peratus tahun ke tahun kepada RM1.01 bilion berikutan perolehan yang lebih tinggi daripada perniagaan fiber dan mudah alih.

Lembaga Pengarah mengumumkan dividen interim kedua dikecualikan cukai satu peringkat sebanyak 4.0 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2021, akan dibayar pada 30 September 2021. Tarikh kelayakan untuk pembayaran dividen ialah 3 September 2021.

Jumlah dividen yang diumumkan untuk tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2021 ialah 8.0 sen sesaham biasa. - Bernama

Artikel Berkaitan: