Operasi musnah tanaman kelapa sawit haram selesai

Anggota penguat kuasa JPNS memusnahkan pokok kelapa sawit yang ditanam secara haram dalam operasi Penguatkuasaan Hutan Secara Bersepadu (Ops Langat) di kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Tanjung Sepat pada Isnin. - Foto Bernama.
Anggota penguat kuasa JPNS memusnahkan pokok kelapa sawit yang ditanam secara haram dalam operasi Penguatkuasaan Hutan Secara Bersepadu (Ops Langat) di kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Tanjung Sepat pada Isnin. - Foto Bernama.
A
A
A

TANJUNG SEPAT - Operasi bersepadu bagi memusnahkan tanaman kelapa sawit sekitar 10.8 hektar yang ditanam secara haram di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS), di sini yang bermula sejak Isnin berjaya ditamatkan pada Jumaat.

Pengarah Perhutanan Selangor, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, sebanyak 1,020 batang pokok kelapa sawit pelbagai saiz dan umur dimusnahkan melalui tiga kaedah iaitu menggunakan jentera jengkaut sebanyak 100 batang, penebangan pokok menggunakan gergaji besi dan parang sebanyak 210 batang dan semburan racun sebanyak 710 batang.

Menurutnya, operasi tersebut dijalankan dengan kekuatan seramai 90 pegawai dan anggota dari Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

“Terdapat penahanan dan sitaan sebuah motosikal di sebahagian kompartmen 13 di HSKLS susulan dua individu dipercayai sedang menjalankan aktiviti menggembur tanah, namun mereka gagal ditangkap kerana kehadiran pegawai dikesan lebih awal.

“Kes akan disiasat oleh Pegawai Penyiasat JPNS di bawah peruntukan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.

“JPNS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menceroboh kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Selangor dan akan sentiasa bersiap siaga meneruskan pemantauan berkala di kawasan ini untuk mengekang sebarang aktiviti penerokaan baharu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Artikel Berkaitan: