Semua barisan kabinet PN perlu letak jawatan

Zulkifli
Zulkifli
A
A
A

KUANTAN - Semua barisan kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa meletakkan jawatan mereka di atas kekhilafan berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat di sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang, Zulkifli Mohamed berkata, gesaan itu dibuat kerana tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah mencetuskan ketegangan kepada krisis Perlembagaan.

Menurutnya, tindakan itu telah menyebabkan kekeliruan dalam kalangan semua pihak dan mengundang rasa dukacita Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana membelakangi kuasa Seri Paduka Baginda.

"Takiyuddin perlu melepaskan jawatannya secara ‘gentleman’ demi meredakan suhu politik nasional yang semakin panas ketika ini.

"Malah, seluruh ahli kabinet ‘pintu belakang’ PN ini juga mesti meletakkan jawatan dengan segera," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Isnin, kerajaan PN memutuskan tidak akan menasihati Al-Sultan Abdullah untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.

Takiyuddin menjelaskan kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.

Pengumuman mengenai pembatalan ordinan berkaitan darurat berkenaan mendatangkan bantahan daripada pihak pembangkang yang menuntut agar Takiyuddin menjelaskan bilakah peraturan itu dibatalkan dan mekanisme pembatalan itu dibuat.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada Isnin bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Seri Padukan Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenankan.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, individu yang mencetuskan polemik perlembagaan ini ialah Setiausaha Agung Pas dan pemimpin parti terbabit seharusnya menunjukkan tindak-tanduk yang menghormati dan taat kepada perintah Ketua Utama Negara.

Jelasnya, hampir semua pihak tidak mengira ahli politik, akademik atau rakyat jelata dengan jelas bersepakat bahawa kerajaan ‘pintu belakang’ ini tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong.

"Lebih memalukan, perbuatan ini dilakukan oleh pemimpin sebuah parti yang dikatakan ingin mendaulatkan pemerintahan Islam dan menjulang institusi beraja di negara ini.

"Sejarah Pas dalam isu tidak menghormati Sultan ini bukan perkara baharu, sebaliknya pernah berlaku sebelum ini. Kalau kita ingat bagaimana Sultan Perak diperlakukan oleh Pas ketika konflik politik melanda kepimpinan negeri tersebut pada penghujung tahun 2020 antara UMNO dengan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) dan Pas berpihak kepada Bersatu.

"Penglibatan Sultan Perak hanya berlaku apabila baginda gusar melihat percaturan politik yang menjadi semakin tidak terkawal dan mengabaikan kebajikan rakyat," katanya.

Zulkifli berkata, sejarah lalu membuatkan Pas tidak hanya gagal dalam menguruskan negara dalam era pandemik ini.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat agar tidak keliru dan berwaspada terhadap parti yang sentiasa menjadikan agama sebagai umpan untuk meraih sempati dan undi serta sanggup mengorbankan perjuangan suci.