Alvin Goh gagal rayuan habeas corpus

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ahli perniagaan Goh Leong Yeong yang direman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 atas dakwaan melakukan kegiatan perjudian dalam talian secara haram gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan supaya writ habeas corpus dikeluarkan untuk pembebasannya.

Dalam keputusan majoriti 2-1, panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat menolak rayuan yang dikemukakan Leong Yeong atau lebih dikenali sebagai Alvin Goh selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan writ habeas corpusnya.

Keputusan majoriti itu diperoleh daripada Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Abdul Rahman Sebli manakala Hakim Lam Kiat menentang.

Dalam keputusan majoriti mahkamah, Hakim Zabariah memutuskan penahanan Leong Yeong di bawah Seksyen 4 (1) (a) POCA adalah bersifat akademik selepas tahanan remannya telah berakhir dan dia (Leong Yeong ) tidak lagi ditahan di bawah seksyen itu.

“Pengeluaran writ habeas corpus tidak memberi sebarang makna untuk penahanan di bawah Seksyen 4 (1)(a) kerana ia sudah berakhir apabila dibawa ke Mahkamah Tinggi. Tentangan seperti itu telah menjadi akademik,” katanya dan menambah permohonan untuk habeas corpus mestilah ditujukan bagi perintah tahanan semasa.

Hakim Zabariah juga berkata perintah reman selama 21 hari yang dikeluarkan Majistret pada 31 Oktober tahun lepas supaya Leong Yeong direman di bawah Seksyen 4(1)(a) adalah sah dan kerana keperluan prosedur yang ditetapkan di bawah seksyen itu telah dipenuhi.

Rayuan Leong Yeong adalah berhubung perintah reman awalnya selama 21 hari dari 31 Oktober tahun lepas mengikut Seksyen (4(1)(a) POCA untuk membantu siasatan berhubung sindiket perjudian dalam talian yang didakwa menyalahi undang-undang. Dia kemudiannya ditahan selama 38 hari di bawah Seksyen 4(2)(a) POCA.

Seorang daripada peguamnya, Jacky Loi Yap Loong berkata Leong Yeong, 33, sekarang berada di bawah tahanan selama dua tahun di Penjara Simpang Renggam di bawah POCA.

Artikel Berkaitan:

Pada 16 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Leong Yeong untuk writ habeas corpus selepas bersetuju dengan bantahan awal yang dibangkitkan oleh Peguam Kanan Persekutuan Muhammad Sinti, yang mewakili pihak responden, bahawa permohonan Leong Yeong telah menjadi akademik kerana dia kini ditahan di bawah perintah yang berbeza di bawah POCA.

Leong Yeong memfailkan permohonan habeas corpus itu dengan menamakan pegawai penyiasat Asisten Komisioner Khairul Fairoz Rodzuan, seorang Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia selaku responden.

Dalam keputusannya, Hakim Zabariah berkata, dalam keadaan apabila seseorang itu tidak lagi ditahan di bawah seksyen tertentu, writ habeas corpus terhadap penahanan sedemikian sepatutnya tidak dikeluarkan.

“Ini adalah bagi alasan dan logik mudah bahawa seseorang yang telah dibebaskan tidak boleh diperintahkan untuk dilepaskan,” katanya.

Hakim Zabariah juga berkata, Seksyen 4 POCA adalah berperlembagaan dan tidak melanggar Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Vernon dalam keputusan menentangnya, membenarkan rayuan Leong Yeong dan mengeluarkan writ habeas corpus untuk pembebasannya.

Dalam prosiding pada Jumaat yang dijalankan secara dalam talian, sepasukan lapan peguam diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram mewakili Leong Yeong manakala Peguam Kanan Persekutuan Muhammad Sinti dan Farah Ezlin Yusop bagi pihak responden.