Bekas Pengarah Jakoa didakwa salah guna kuasa

Haslin (depan, kanan) dan Mohd Irwan Redzuan (belakang, tengah) dibawa ke Mahkamah Seremban pada Jumaat.
Haslin (depan, kanan) dan Mohd Irwan Redzuan (belakang, tengah) dibawa ke Mahkamah Seremban pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang bekas Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Negeri Sembilan dan Melaka, serta seorang pemilik syarikat, mengaku tidak bersalah terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan kuasa, lima tahun lalu.

Tertuduh, Haslin Abdul Razak, 46, yang kini menjawat jawatan sebagai Penolong Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik KEMAS, di Putrajaya dan Mohd Irwan Redzuan Abdullah, 44, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Madihah Harullah selepas pertuduhan dibaca ke atas mereka di Mahkamah Seksyen 1 Seremban pada Jumaat.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.

Haslin diwakili peguam Marisa Regina Mohd Aris Rizal manakala Mohd Irwan Redzuan tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya mengarahkan bayaran jamin sebanyak RM7,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Kedua-dua tertuduh juga perlu melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di Pejabat SPRM Seremban, Negeri Sembilan.

Mengikut kertas pertuduhan, pada 6 Disember 2016, Mohd Irwan Redzuan, selaku pemilik perniagaan Salju Asli Enterprise telah bersubahat dengan Haslin, selaku Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Negeri Sembilan/Melaka dalam mengemukakan satu tuntutan palsu berjumlah RM15,000 kepada Jakoa Negeri Sembilan/Melaka berkenaan pembekalan Perkhidmatan Makan Minum Sempena Majlis Ramah Mesra Pengarah Jakoa Bersama Penduduk Komuniti Orang Asli Bukit Payung, Alor Gajah, Melaka yang tidak dilaksanakan.

Hazlin telah mengarahkan Mohd Irwan Redzuan memasukkan RM13,200 daripada RM14,880 bayaran yang diterima setelah ditolak komisen, ke dalam akaun Kelab Sukan dan Kebajikan Kakitangan Jakoa Negeri Sembilan/Melaka sebagai sumbangan daripada Mohd Irwan Redzuan.

Artikel Berkaitan:

Oleh yang demikian, kedua-duanya akan disiasat mengikut Seksyen Pertuduhan Utama: Sek 18 Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama, dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kes akan disebut semula pada 24 September depan.